Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Telco tak kenakan caj SMS Covid-19 pada k'jaan - Abdul Latiff
Diterbitkan:  Dec 14, 2021 2:59 PM
Dikemaskini: 7:01 AM

PARLIMEN | Tiada caj dikenakan terhadap kerajaan bagi Pesanan Khidmat Awam (PKA) melalui SMS kepada orang ramai untuk memberikan mereka maklumat serta khidmat nasihat berkaitan pengurusan pandemik Covid-19.

Dalam jawapan bertulis di parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Dr Abd Latiff Ahmad berkata, khidmat pesanan ringkas itu diberikan secara percuma oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi atas dasar tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Bagi perkhidmatan PKA melalui SMS ini, kesemua 13 penyedia perkhidmatan telekomunikasi tidak mengenakan sebarang caj untuk perkhidmatan SMS ini (kadar sifar) atas dasar tanggungjawab sosial korporat,"jelasnya.

Katanya PKA dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (MKN, JPM) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 13 penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbabit.

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbabit ialah Celcom, Digi, Maxis, UMobile, ALTEL, Webe, Tune Talk, Pavocomms, YTL, XOX, Redtone, Red One dan Merchantrade.

Sehubungan dengan itu, Abd Latiff berkata kerajaan amat menghargai dan berterima kasih kepada kesemua penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan menghargai usaha murni mereka membantu kerajaan menghadapi pendemik Covid-19.

"Kerajaan berharap kerjasama sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang terutamanya dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat," katanya bagi menjawab soalan ahli parlimen Lim Kit Siang (PH- Iskandar Puteri).

Terdahulu, Lim meminta kerajaan menyatakan jumlah bayaran yang dibuat untuk perkhidmatan SMS bagi mengingatkan orang ramai mengenai prosedur operasi standard (SOP), yang diuruskan oleh MKN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS