Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Analogi ‘chopstick’ yang digunakan oleh Mahathir Mohamad ketika mengulas mengenai asimilasi kaum Cina di Malaysia ini, kini menjadi wacana di kalangan politizen (warga politik - ahli, pengikut dan peminat politik).

Saya telah menonton rakaman video ulasan Tun M ini. Berdasarkan rakaman itu saya dapat menangkap konteks percakapan Tun M ialah politik.

Beliau menggambarkan bagaimana kaum Cina di Malaysia dapat menikmati amalan budaya mereka berbanding Cina di Indonesia yang mana bukan sahaja bahasa, malah nama individu turut dipaksa menggunakan nama dalam Bahasa Indonesia, jika tidak Cina sebagai kaum minoriti di Indonesia akan jadi terasing di negara itu.

Ia berbeza dengan Cina di Malaysia yang bebas mengamalkan budaya mereka termasuk makan menggunakan chopstick.

Jika rumusan ini saya salah, mungkin kerana rakaman video yang saya tonton itu tidak lengkap atau memang saya yang silap faham. Apa pun, saya sudah dengar berulang kali hingga cukup jelas.

Dari perspektif lain, saya melihat analogi ‘chopstick’ dengan asimilasi kaum Cina di Malaysia oleh Tun M ini adalah suatu manifestasi yang paradoks.

Paradoks apabila Tun melihat orang Cina yang sudah bertahun-tahun tinggal di Malaysia termasuk generasi yang lahir di Malaysia sejak sekian lama tetapi masih mengamalkan budaya hidup dari tanah leluhurnya (makan guna chopstick) – suatu realiti yang benar.

Tetapi pada masa yang sama, kaum Cina yang tidak mengikut budaya tempatan ini (tak makan pakai tangan) tetapi tetap diiktiraf dan dilayan sebagaimana warga Malaysia yang lain – juga realiti yang benar.

Paradoks yang berlaku di sini adalah suatu kebenaran yang bertentangan dan sukar dimengerti dalam konteks realiti politik hari ini.

Begitu juga dengan luahan hati Tun M baru-baru ini. Bagaimana dia mengeluh (termasuk ramai yang lain) mengenai Najib Razak yang telah didapati bersalah oleh mahkamah, tetapi bukan sahaja masih bebas malah masih disokong oleh parti dan penyokong setianya hingga Tun termasuk ramai dikalangan kita merasa pelik dengan realiti yang sangat kontras ini. Inilah paradoks.

Justeru, apa yang dapat kita pelajari dari analogi Tun M ini?

Mari kita lihat lanskap politik hari ini. Semuanya paradoks.

Kita berjaya menumbangkan Umno-BN sebagai musuh politik yang mewakili kerajaan kleptokrat dan pada PRU 14 – ia suatu realiti yang benar.

Tetapi hari ini, Umno-BN yang kalah itu kini kembali semula mendekati puncak kuasa sekelip mata – juga suatu realiti yang benar.

Dalam realiti ini juga, kita semua telah sepakat bahawa menumbangkan parti pendukung kleptokrat ini adalah keutamaan bagi kita semua, tak kiralah anda dari parti mana – juga suatu realiti yang benar.

Tetapi pada masa yang sama mereka yang nak menentang Umno-BN ini masih terus bermusuh antara satu sama lain. Parti-parti pembangkang masih tidak mampu untuk bekerjasama dan menumbangkan Umno-BN – juga suatu realiti yang benar.

Justeru, kesialan apakah paradoks ini.


MAHDZIR IBRAHIM, seorang pelukis yang berada dalam labirin politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS