Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur buat masa ini menolak permohonan untuk menjalankan perbicaraan kes rasuah 1MDB membabitkan Najib Razak secara dalam talian.
Bagaimanapun, hakim Collin Lawrence Sequerah berkata mahkamah tidak menolak kemungkinan untuk membenarkan perbicaraan secara dalam talian pada masa hadapan.
Hakim membuat keputusan pagi ini berhubung permohonan pihak pendakwaan supaya kes itu dijalankan melalui prosiding secara dalam talian berikutan tertuduh tidak dibenarkan masuk ke mahkamah kerana mempunyai kotak rapat dengan pesakit Covid-19, seperti dipaparkan pada status MySejahteranya.
"Mengenai permohonan untuk pendengaran secara hibrid, selepas mempertimbangkan hujah pihak pembelaan, buat masa ini saya memutuskan untuk menolak prosiding secara dalam talian, tetapi saya tidak menolaknya pada masa hadapan," kata Sequerah semasa prosiding mahkamah terbuka.
Najib tidak hadir di mahkamah pagi ini kerana status aplikasi Mysejahteranya masih berwarna kuning, yang menunjukkan dia merupakan kontak kasual.
Disebabkan itu Najib semalam tidak dibenarkan memasuki Mahkamah Tinggi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, menyebabkan perbicaraan pada hari itu dilapangkan.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur secara amnya hanya membenarkan mereka yang berisiko rendah atau berstatus biru pada MySejahtera untuk memasuki premis berkenaan.
Berikutan Najib tidak dibenarkan memasuki mahkamah, timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib semalam memohon mahkamah menjalankan perbicaraan secara dalam talin, di mana Najib dan pasukan pembelaan boleh mengikuti prosiding melalui aplikasi Zoom dari lokasi lain, manakala Sequerah dan pendakwaan berada di Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, peguam bela, Hariharan Tara Singh semalam membantah permohonan itu dengan hujah bahawa mahkamah akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menilai persoalan undang-undang dan fakta yang dikemukakan apabila perbicaraan dijalankan di lokasi.
Status pada aplikasi MySejahtera peguam utama Najib, Muhammad Shafee dan sebahagian besar peguam juga masing-masing menunjukkan mereka sebagai kontak rapat dan kontak kasual.
Shafee juga tidak hadir di mahkamah hari ini kerana status Mysejahteranya menunjukkan dia sebagai kontak rapat pesakit Covid-19.
Pada Selasa dan Rabu minggu lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya menjalankan prosiding secara dalam talian berkaitan rayuan kes rasuah Najib membabitkan tuduhan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Prosiding itu menyaksikan hakim Mahkamah Rayuan dan pasukan pendakwaan hadir di Istana Kehakiman, manakala Najib dan pasukan pembelaan mengikuti prosiding melalui Zoom dari lokasi lain.
Ini berikutan Najib dan sebahagian besar pasukan pembelanya merupakan kontak rapat dengan individu positif Covid-19.
Berhubung perbicaraan di hadapan Sequerah, Najib menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.
Perbicaraan ditetapkan untuk disambung semula pada Khamis minggu ini.