Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Reputasi Tiong beri kelebihan tapi faktor SUPP jadi penentu

PRN SARAWAK | Pengundi di Dudong sudah lali dengan keadaan longkang di kawasan mereka yang ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh tiba pada bulan Disember. Tahun ini, mereka akan berhadapan dengan calon-calon pilihan raya yang akan menawarkan janji-janji mereka.

Seramai lapan calon akan bertanding di Dudong, yang menyaksikan pertembungan paling ramai calon pada pilihan raya negeri itu.

Bagaimanapun, terdapat dua faktor yang menjadikan Dudong antara kerusi yang paling mencuri tumpuan.

Pertama, ahli politik veteran dan presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing akan bertanding di kerusi ini. 

Kedua, kerusi Dudong kebiasaannya dikhaskan untuk sekutu PDP, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Tiong, yang merupakan ahli parlimen Bintulu dan Duta Khas ke China, mengatakan dia berasal dari Sibu untuk menjawab dakwaan bahawa dia 'melarikan diri' sejauh "200km" dari kawasan yang ditandinginya sebelum ini.

Dalam kempennya, Tiong menjelaskan bahawa dia dilahirkan di Sibu dan mempunyai hubungan kekeluargaan di sini. Dia juga mengedarkan gambar rumah keluarganya untuk membuktikan perkara itu.

Walaupun lapan calon bertanding, kebanyakan bahan kempen yang menghiasi kawasan itu adalah berkenaan Tiong dan calon DAP, Paul Ling, 39, yang merupakan muka baru.

Tiong, 60, menjadi ahli parlimen sejak 1991 dan merupakan ahli perniagaan yang sangat berjaya. Bagaimanapun, poster kempen tidak menyebut mengenai pencapaian tersebut; sebaliknya, dia ditonjolkan sebagai wira akar umbi, dengan gambar memakai pakaian kerja dan topi keselamatan.

Walaupun bergelar "Datuk Seri", bahan-bahan kempen dalam bahasa Cina tidak merujuk Tiong dengan gelaran itu, sebaliknya dengan gelaran "abang", bagi menunjukkan kerendahan hatinya.

Moto kempennya ialah "Restructure, Rebuild and Thrive" atau "2R1T". 

Kempen utama Tiong adalah untuk menyelesaikan masalah banjir, memperbaiki longkang, mendalamkan Sungai Rajang dan menyediakan akses internet yang lebih baik di kawasan itu.

Tiong memulakan kempen dengan mengadakan wawancara dengan pelbagai saluran media. Kempen media sosialnya dijalankan dalam empat bahasa. Dia menjalankan kempennya secara senyap, tanpa memberitahu pihak media.

Sebaliknya, kempen Ling bermula dengan agak perlahan. Laman Facebooknya hanya diwujudkan pada 5 Dis, sehari sebelum hari penamaan calon.

Kebanyakan kandungan kempennya adalah dalam bahasa Cina, walaupun kira-kira 47 peratus pengundi di sini bukan terdiri daripada kaum Cina.

Semasa lawatannya pada 8 Dis, dia kelihatan agak canggung dan lebih banyak bergantung kepada seniornya David Wong (ADUN Pelawan) dan Irene Chang (Adun Bukit Assek) untuk sesi perkenalan diri.

Malah di dalam parti, Ling bergelut untuk menonjolkan diri sebagai calon dan menyampaikan mesej ketika berkempen. Ada satu ketika, seorang individu yang lalu lalang bertanya apakah dia merupakan calon Bebas di kawasan itu.

DAP Sarawak menunjukkan prestasi terbaik semasa kempen pilihan raya 2011, pada kemuncak gerakan untuk menumbangkan Taib Mahmud sebagai ketua menteri, dengan mengadakan perhimpunan-perhimpunan besar di bandar-bandar untuk menyampaikan mesejnya.

Bagaimanapun dalam penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19, keadaan kali ini agak sukar bagi DAP.

Sebaliknya, parti itu perlu berkempen secara bersemuka dan dari rumah ke rumah - satu tugas yang sukar di Dudong, yang merupakan kerusi terbesar di negeri itu.

Kekecewaan pengundi

Beberapa pengundi Dudong yang telah mengundi DAP atau Pakatan Harapan (PH) sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa mereka kecewa dengan prestasi PH dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Sebaliknya, mereka berpendapat Tiong bersuara lantang mengenai hal ehwal Sarawak.

Seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Yong, 40, berkata dia mengundi PH pada pilihan raya lalu kerana percaya BN merupakan gabungan parti yang korup.

Bagaimanapun, katanya, PH tidak menunaikan janji untuk menyalurkan 20 peratus hasil minyak dan gas Sarawak kembali ke negeri itu. Keadaan ini kata Yong, membuatkan dia sangat bengang dengan PH.

"Saya berterus terang saja dengan awak. Saya sangat gembira kerana Tiong akan datang ke Dudong," katanya.

Seorang lagi pengundi, yang hanya mahu dikenali sebagai Chang, 42, menyuarakan sentimen yang sama dan mengkritik ahli majlis SUPP kerana gagal menyelesaikan masalah tempatan, seperti banjir dan kesesakan lalu lintas, walaupun memegang jawatan selama beberapa puluh tahun.

Chang berkata kali ini, dia akan memilih semata-mata berdasarkan kualiti calon dan bukannya parti atau gabungan.

Memandangkan kemajuan yang dicapai Bintulu dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Chang berkata dia meletakkan kepercayaan kepada Tiong.

"Sekiranya kita boleh ada pawagam GSC, Uniqlo atau mana-mana jenama besar di Dudong, itu bagus. Di sini, kita tidak mempunyai apa-apa yang menyerupai pusat membeli-belah," katanya.

Faktor SUPP

Berdasarkan maklum balas awal pengundi setakat ini, reputasi Tiong memberikan kelebihan kepadanya. 

Cabaran terbesar Tiong adalah sama ada dia boleh meyakinkan ahli SUPP di Dudong untuk menyokongnya atau sebaliknya.

Seorang ahli SUPP di Sibu, Nicholas Jamin, memberitahu Malaysiakini bahawa ada ahli tidak berpuas hati dengan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana membenarkan PDP meletakkan calon mereka dan bukannya SUPP.

Kerusi Dudong diperuntukkan kepada SUPP sejak beberapa dekad lalu. SUPP telah menamakan calonnya di Dudong pada pilihan raya kali ini tetapi kepimpinan GPS membuat keputusan untuk memberi laluan kepada Tiong.

Justeru, kata Nicholas, dia tidak pasti sama ada ahli SUPP akan menyokong Tiong.

Pengerusi SUPP cawangan Dudong, Wong Ching Yong, ketika dihubungi, berkata dia menyedari perkara itu dan akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.

Ketika berita ini ditulis, Malaysiakini belum menerima sebarang kenyataan media dari Wong.

"Presiden kami Sim Kui Hian tidak mengkhianati Dudong (semasa rundingan kerusi)," kata Wong, ringkas.

Dalam wawancaranya, Tiong menggesa ahli SUPP bekerja sebagai satu pasukan dalam semangat GPS, sambil membayangkan bahawa pihaknya akan melakukan perkara yang sama untuk calon SUPP lain di negeri ini.

Pada 2016, calon BN Sarawak memenangi kerusi Dudong, tetapi dengan hanya 46 peratus undi, manakala calon DAP menduduki tempat kedua dengan 36.1 peratus undi.

Pada 2016, calon BN Sarawak Tiong Thai King memenangi kerusi Dudong, tetapi dengan hanya 46 peratus undi, manakala calon DAP Yap Hoi Liong di tempat kedua dengan memperolehi 36.1 peratus undi.

Bagaimanapun, Thai King dan Yap telah mengeluarkan kenyataan untuk menyokong Tiong. Thai King pernah bersama PSB semasa menjadi Adun Dudong.

Dengan latar belakang dan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong SUPP serta tentangan terhadap PH, persaingan di kerusi itu sangat sengit malah mungkin membuka peluang kepada lima calon lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS