Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
NGO: Pekerja domestik tak boleh lagi di bawah pengecualian dalam Akta Kerja

Cadangan pindaan Akta Kerja 1955 tidak memadai untuk melindungi “kakitangan domestik” memandangkan penukaran istilah itu kepada “pekerja domestik” tidak memadamkan status mereka sebagai pekerja tidak formal, menurut Persekutuan Pekerja Domestik Antarabangsa (IDWF).

Pegawai IDWF Bariyah berkata, selaku pekerja tidak formal, mereka kekal dinafikan hak asas seperti hari cuti dan waktu kerja tetap.

Dia memaklumkan istilah semasa “kakitangan domestik” atau “pekerja domestik” seperti yang dalam cadangan pindaan - bersama-sama dengan pekerja tidak formal kategori lain - disenaraikan di bawah Jadual Pertama akta tersebut.

“Isu asas antaranya dinafikan rehat sehari dalam seminggu, tidak dibenarkan memiliki telefon tangan dan tiada gaji minima kekal tidak diselesaikan.

“Kami bimbang di sebalik penukaran istilah, pengecualian di bawah jadual pertam akan kekal tidak dipinda,” katanya ketika wawancara dalam talian dengan Malaysiakini.

Menurut Bariyah, isu berkaitan hak asas menyumbang kepada keadaan kerja yang tidak wajar buat pekerja domestik.

Sebagai contoh, katanya, pekerja domestik yang tidak dibenarkan memiliki telefon dan cuti sehari akan berdepan kesukaran untuk mendapatkan bantuan jika dieksploitasi.

“Sehingga kini masih ada pekerja domestik yang dibayar gaji RM600, ketika gaji minimum di Malaysia adalah RM1,200,” katanya lagi.

Pekerja domestik warga Indonesia

Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2021 dibentang untuk bacaan pertama di Parlimen pada 25 Oktober lalu.

Ia di tengah seruan terhdaap kerajaan untuk menangani isu buruh paksa dalam pelbagai industri, yang membawa kepada beberapa tindakan di peringkat antarabangsa dan kemerosotan penarafan Malaysia ke tahap Tier 3 dalam laporan Traficking in Persons (TIP) 2021 Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).

Cadangan pindaan itu antara lain bagi mematuhi piawaian dan amalan seperti yang digariskan dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, Pelan Konsistensi Buruh Malaysia-Amerika Syarikat dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Selain sektor pembuatan dan perladangan, Bariyah berkata pekerja domestik juga berisiko terperangkap dalam keadaan buruh paksa di tempat kerja mereka.

Sementara itu, wakil Persatuan Rumah Tangga Indonesia (Pertimig) Nasrikah Sarah berkata, pelbagai kumpulan menerusi Jawatankuasa Reformasi Buruh telah membentangkan syor mereka seawal 2018, ketika pentadbiran PH.

“Malah untuk pindaan sekarang ini, kita juga berikan pandangan, serta cadangan lain berkenaan undang-undang untuk melindungi pekerja domestik” katanya.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago pula berkata Jadual Pertama akta itu perlu dipinda bagi mengiktiraf pekerjaan domestik sebagai kerja formal yang layak dilindungi di bawah akta itu.

“Pada masa ini mereka tidak ditakrif sebagai pekerja domestik, tetapi kakitangan domestik.

“Jadi secara teknikal, berdasarkan undang-undang, mereka bukan pekerja. Jika mereka bukan bekerja, maka Akta Kerja tidak terpakai kepada mereka,” katanya ketika dihubungi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS