Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan akhir pendakwaan kes Peter Anthony esok
Diterbitkan:  Dec 13, 2021 6:07 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Keputusan sama ada bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony akan dipanggil untuk membela diri atau dilepaskan daripada pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), akan diketahui esok.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi dijadualkan menyampaikan keputusan di akhir kes pendakwaan itu pada 9 pagi.

Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud prima facie terhadap Peter, maka beliau akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya Peter akan dilepas dan dibebaskan.

Pada 21 Sept lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 15 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula 5 April tahun ini.

Antara saksi-saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi.

Mahkamah menetapkan tarikh untuk keputusan selepas selesai mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan pada 15 Nov 2021.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala Peter diwakili peguam Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada YAB Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Dia juga berdepan pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 yang mempunyai pernyataan palsu pada tajuk surat itu, dan beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu di tempat dan masa yang sama.

Peter didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS