mk-logo
Berita
Dua 'perangkap Wahab' dipasang Perhilitan jejak harimau di Kg Remau
Diterbitkan:  Dec 13, 2021 4:37 PM
Dikemaskini: 8:46 AM

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan telah memasang dua unit perangkap harimau dikenali sebagai ‘Perangkap Wahab’ di Kampung Remau, Pos Bihai, Gua Musang semalam.

Pengarahnya Mohamad Hafid Rohani berkata perangkap itu dipasang kerana pihaknya menerima aduan daripada penduduk kampung mengenai kelibat harimau belang berkeliaran di kampung terbabit.

Katanya, berdasarkan aduan itu juga pihaknya telah menjalankan siasatan awal serta pemantauan termasuk pemasangan perangkap kamera di lokasi kejadian pada Sabtu lepas (11 Dis).

“Semalam, seramai lapan kakitangan jabatan telah menjalankan operasi untuk menangkap harimau belang dengan mengumpankan kambing hidup di dalam 'perangkap wahab' yang dipasang itu.

“Operasi tangkapan ini perlu dilaksanakan berikutan ekor harimau belang berkenaan masih berkeliaran di sekitar kawasan kampung memandangkan terdapat sumber makanan (ternakan) yang mudah diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan, di Gua Musang hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Hafid berkata berdasarkan imej dan video yang dirakam oleh penduduk kampung, pihaknya mendapati keadaan fizikal dua ekor harimau belang itu dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan luaran.

“Bagaimanapun kita tidak dapat pastikan sama ada harimau belang berkenaan telah dijangkiti Virus Canine Distemper seperti yang berlaku kepada 'Awang Besul', iaitu harimau belang yang ditangkap di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dunggun, Terengganu pada 19 Julai 2019 kerana kedua-dua ekor harimau belang berkenaan menunjukkan tingkah laku tidak takut kepada manusia.

“Bagi memastikan keselamatan terjamin, penduduk kampung orang asli di Kampung Remau juga telah diminta untuk berpindah sementara ke kampung berhampiran iaitu Kampung Tendrik, Pos Bihai dan akses laluan masuk ke kampung itu juga ditutup buat sementara bagi membolehkan operasi tangkapan ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan secara berterusan akan dilakukan di lokasi sehingga operasi tangkapan harimau belang itu berjaya dan orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar seperti ini.

Sebelum ini, dilaporkan seramai 17 keluarga Orang Asli dari Kampung Remau, Pos Bihai di sini, terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing susulan ternampak kelibat beberapa ekor harimau belang dewasa di sekitar kebun dan kawasan kediaman mereka, sejak Jumaat lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS