Bekas perdana menteri Najib Razak berkata dia dihalang masuk ke mahkamah hari ini kerana status MySejahtera dia masih berstatus kuning.
Dia justeru membandingkan perkara itu dengan apa yang berlaku terhadapnya minggu lepas.
“Minggu lepas saya dimarah sebab saya tidak hadir di mahkamah setelah status MySejahtera saya tukar ke warna kuning.
“Pagi ini saya hadir tetapi saya dihalang masuk mahkamah sebab warna MySejahtera saya masih kuning,” katanya.
Mahkamah Rayuan pada 7 Disember dengan tegas mengingatkan Najib bahawa mahkamah bukan kedai kopi kerana gagal hadir prosiding atas alasan menjadi kontak rapat Covid-19.
Bukan sahaja Najib, malah peguam bela utamanya Muhammad Shafee Abdullah dan sebahagian besar pasukan peguam tidak hadir hari ini kerana didakwa menjadi kontak rapat dan kontak kasual.
“Ini mahkamah. Ia bukan sekadar ‘air liur’ dan bersembang,” kata hakim Abdul Karim Abdul Jalil.
Najib dan peguam kemudian hadir secara dalam talian semasa pendengaran permohonannya untuk mengemukakan bukti baru dalam rayuan kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.
Mahkamah Rayuan kemudiannya mengekalkan sabitan dan deda penjara 12 tahun dan RM210 juta terhadapnya tetapi membenarkan ia ditangguhkan sementara menunggu rayuan di mahkamah lebih tinggi.