Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Steven Sim sanggah Dr M: Saya 100% rakyat M'sia, 100% orang Cina
Diterbitkan:  Dec 13, 2021 11:44 AM
Dikemaskini: 4:14 AM

Seorang anggota Parlimen DAP mengingatkan Dr Mahathir Mohamad bahawa generasi terdahulu bersetuju menubuhkan sebuah negara yang menerima pelbagai kaum seperti sekarang adanya tanpa asimilasi dan diskriminasi.

Kenyataan itu hadir selepas bekas perdana menteri itu membangkitkan kesukaran dalam asimilasi kaum bukan Melayu di negara ini, dengan penggunaan chopstick di kalangan masyarakat Cina sebagai contoh.

Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata, hujah mengenai indentiti kaum yang dikemukakan Mahathir merupakan perbandingan yang salah.

"Saya diajar bahawa kepelbagaian kita yang berbagai kaum itu adalah untuk kita saling berkenalan, saling belajar daripada satu sama lain. Kita jadi kuat sebab kita majmuk.

"Itu sebabnya saya selalu membantah persoalan sebegini: adakah saya orang Malaysia atau orang Cina? Saya bantah, tak kira soalan ini dibawa oleh siapa, waima pemimpin yang saya hormati.

"Kerana soalan itu satu dilema palsu. Mengapa saya harus pilih? Saya 100 peratus orang Malaysia dan 100 peratus orang Cina," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam Mahathir membangkitkan apa yang dirasakannya sebagai kesukaran dalam asimilasi penduduk bukan Melayu di negara ini, dengan penggunaan penyepit di kalangan masyarakat Cina sebagai contoh.

Selain itu, dia juga berkata masih ada kecenderungan komuniti di Malaysia dalam mengekalkan perkaitan dengan negara asal, walaupun lahir dan dibesarkan di Malaysia.

Sementara itu Steven berkata dalam buku-buku karangannya, dia menegaskan adalah tidak logik apabila selepas lebih enam dekad membentuk negara, rakyat diminta memilih antara identiti kebangsaan dan identiti etnik.

"Sedangkan enam dekad yang lepas, datuk moyang kita telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah negara yang menerima setiap etnik itu seperti sedia adanya tanpa asimilasi, tanpa diskriminasi – Melayu, Cina, India, Iban, Kazadan, Dusun, Murut dan sebagainya.

"Saya rakyat Malaysia dan saya orang Cina. Saya selalu makan guna sudu dan garpu, ada kala saya guna penyepit, ada juga masanya saya guna tangan, terutamanya bila saya makan nasi banana leaf atau pizza hut.

"Tapi, taklah saya guna penyepit makan nasi lemak dan belum pernah lagi saya nampak orang guna tangan makan steambot - tapi kalau ada pun oklah, janji makanan masuk mulut turun ke perut," katanya.

Dia turut mempersoalkan adakah menjadi kekurangan sebagai rakyat Malaysia hanya kerana dia merupakan orang Cina.

"Saya baca hikayat orang Melayu, saya baca sastera Cina. Saya juga minat puisi orang putih, terutamanya William Blake, Wordsworth dan novel-novel penulis Asia moden seperti Murakami, Shusaku Endo, Arundhati Roy.

"Saya boleh bertutur dalam bahasa Melayu, bahasa Cina, bahasa Inggeris. Namun saya berasa diri ini kerdil berbanding imaginasi leluhur Melayu yang membayangkan wira lagenda Melayu Hang Tuah yang fasih dalam 12 bahasa," ujarnya sambil menambah bantuan diberikannya kepada rakyat tidak melihat latar belakang kaum penerima.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS