Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peruntukan untuk gereja: PSB dakwa cubaan beli undi
Diterbitkan:  Dec 13, 2021 8:34 AM
Dikemaskini: 12:34 AM

PRN SARAWAK | Calon PSB bagi Ba'Kelalan, Baru Bian mendakwa kerajaan Sarawak melakukan pembelian undi pada kempen pilihan raya negeri.

Ini selepas Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor), sebuah entiti di bawah Pejabat Timbalan Ketua Menteri Sarawak, mengagihkan peruntukan lebih RM1 juta kepada 41 gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) di Lawas dan Trusan.

“Saya dimaklumkan secara keseluruhan RM3.21 juta akan diagihkan kepada 80 gereja BEM di Lawas dan Trusan.

“Tidak ada salahnya gereja menerima peruntukan daripada kerajaan, tetapi masa program itu dipersoalkan dan menimbulkan lebih banyak masalah.

“Selain itu, terdapat lebih 800 gereja BEM di Sarawak, tetapi hanya yang di Lawas dan Trusan diberi wang pada minggu sebelum pilihan raya.

"Tak perlu orang yang bijak untuk tahu bahawa GPS jelas cuba membeli undi daripada pengundi majoriti Kristian di Ba'Kelalan dengan mengedarkan cek semasa tempoh kempen ini," kata Baru dalam satu kenyataan.

Baru ialah penyandang kerusi Ba'Kelalan selama dua penggal yang sebelum ini memenangi kerusi itu di bawah tiket PKR tetapi kemudian melompat parti dengan menyertai PSB.

Pada PRN kali ini, Baru berdepan Sam Laya dari GPS, Martin Labo dari PKR, Pita Asut dari Parti Bumi Kenyalang dan calon Bebas, Agnes Padan.

Rakyat Sarawak akan keluar mengundi pada Sabtu ini (18 Dis).

Baru berkata adalah amat mengecewakan apabila GPS 'jatuh ke tahap paling rendah" dengan menggunakan Unifor untuk keuntungan politik.

"Pilihan tempat penyampaian cek juga menyedihkan. Bukan di Dewan Orang Ramai, sebaliknya mereka mengagihkan peruntukan itu di pelbagai gereja.

"Penyusupan masuk ke gereja kita oleh agen politik ini telah mencemarkan dan memburukkan tempat suci kita," tambahnya.

Baru berkata, pada pilihan raya Sarawak 2016, parti-parti GPS yang ketika itu sebahagian daripada BN, juga mencuba strategi yang sama.

"Saya yakin pengundi di Ba'Kelalan cukup bijak mengetahui agenda politik apabila diberikan wang dan saya menggesa mereka mengecam cara nakal untuk membeli undi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS