Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Zuraida sedia pertimbang sertai Parti Bangsa Malaysia
Diterbitkan:  Dec 12, 2021 10:32 PM
Dikemaskini: 2:32 PM

Spekulasi berhubung pergeseran dalam kumpulan bekas pemimpin PKR dihangatkan lagi selepas Ahli Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Bersatu Zuraida Kamaruddin berkata dia sedia untuk mempertimbang menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

"Saya tak ada terima tawaran apa-apa lagi. (Kalau ada) saya belum tahu lagi, saya akan pertimbangkan, insya-Allah.

“Kalau tawaran daripada sesiapa pun saya akan pertimbangkan, tak boleh tolak,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Individu utama dalam penubuhan PBM adalah bekas Pengerusi PKR Sarawak, Larry Sng, yang juga ahli parlimen Julau.

PBM diwujudkan menerusi pengambilalihan Parti Pekerja Sarawak yang diasaskan bapa Larry, Sng Chee Hua.

Naib presiden kanan PBM pula adalah ahli parlimen Tebrau, Steven Choong. Dia juga merupakan bekas ahli PKR.

Laporan itu berkata nama Zuraida disebut-sebut untuk mengetuai PBM.

Presiden PBM pada masa ini adalah Mohamad Sukri Yusri, individu yang kurang dikenali. Sng pula memegang jawatan timbalan presiden.

Kumpulan ahli parlimen yang keluar PKR - diketuai Zuraida dan Azmin Ali - pada mulanya merancang untuk menubuhkan parti sendiri, namun kebanyakannya kemudian menyertai Bersatu.

Sebelum ini timbul isu sama ada mereka perlu kekal dalam Bersatu atau meneruskan rancangan untuk menubuhkan parti sendiri.

Penyertaan dalam Bersatu membawa masalah kepada ahli parlimen Sarawak dalam kumpulan itu, yang kini tidak lagi memiliki platform untuk bertanding dalam pilihan raya.

Ini kerana Bersatu tidak bertanding di Sarawak demi menghormati sekutunya, iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Syarat GPS dalam kerjasama adalah agar sekutunya tidak bertanding di Sarawak. Syarat itu turut terpakai kepada Umno.

Pada masa ini, kerajaan persekutuan terdiri daripada BN, PN, PBS dan GPS. Bersatu mengetuai PN manakala Umno mengetuai BN.

Antara bekas pemimpin PKR yang menyertai Bersatu di Sarawak adalah Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin.

Walaupun dikaitkan dengan kumpulan itu, Sng tidak menyertai Bersatu. Seorang lagi yang berada dalam kedudukan sama adalah Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang.

Berdepan dengan masalah itu, Ali sebelum ini menjadi calon bebas bagi mempertahankan kerusi DUN Krian dalam PRN Sarawak.

Dia kemudian mengumumkan menarik diri selepas perbincangan dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin. Namun namanya tetap akan dimasukkan dalam kertas undi nanti.

Zuraida berkata dia menyokong keputusan Ali dan berharap penyokongnya di Krian akan mengundi calon GPS, Friday Belik.

Pada masa sama, Ali berharap keputusannya itu akan membolehkannya mempertahankan kerusi Parlimen Saratok pada PRU depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS