Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penduduk Taman Melawati gusar naik taraf pembetungan tergendala
Diterbitkan:  Dec 12, 2021 5:26 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Penduduk Taman Melawati melahirkan rasa gusar terhadap kerja naik taraf pembetungan yang didakwa telah berlarutan sejak empat tahun lalu.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Melawati (TMRA), Azhari Abd Taharim, kerja-kerja yang tidak siap itu bukan saja menyusahkan malah mengundang bahaya kepada masyarakat setempat.

"Kami amat kecewa melihat episod tak berkesudahan kerja menaik taraf pembetungan yang terbantut dan tiada perkembangan, mengakibatkan keadaan jalan teruk dan berbahaya kepada pemandu dan pejalan kaki.

“Malah, keadaan jalan juga telah menyebabkan kemalangan dan merosakkan kenderaan penduduk sejak sekian lama,” dakwanya dalam kenyataan hari ini.

Azhari berkata projek pembetungan itu dimulakan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) ketika itu dan dikendalikan Puncak Niaga Construction Sdn Bhd sebagai perunding projek.

Pada masa ini, katanya lagi, projek itu dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air.

“Projek infrastruktur awam ini dijadual disiapkan oleh Puncak Niaga pada 2018 dan ia kini sudah lama tertangguh, dan tahun 2021 pun akan berlalu.

"Selama bertahun-tahun, penduduk Taman Melawati terpaksa berdepan janji kosong yang berulang oleh Puncak Niaga dan JPP. Pihak berkuasa berkenaan nampaknya tidak serius untuk menyelesaikan masalah besar ini," katanya lagi.

Azhari berkata walaupun terdapat tiga agensi persekutuan yang berbeza terlibat, namun tiada jalan penyelesaian dan tiada pihak yang menunjukkan komitmen jelas untuk menyiapkan projek berkenaan.

Oleh itu dia menggesa Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man agar campur tangan dan menamatkan ketidaktentuan projek pembetungan yang tergendala itu.

"Walaupun tarikh baru telah diberikan untuk menyiapkan projek ini, kami tidak yakin ia akan menjadi kenyataan. Kami menuntut Puncak Niaga agar mematuhi tarikh akhir dan menyiapkan kerja di semua lokasi," katanya.

Persatuan itu juga menggesa agar pihak bertanggungjawab membaiki kerosakan akibat kerja itu termasuk jalan berlubang, sekali gus menjadikannya selamat untuk kenderaan.

Mereka juga menuntut garis masa terperinci projek berkenaan sehingga siap mengikut tarikh akhir terkini, serta laporan terperinci daripada Puncak Niaga berkenaan perkembangan projek berkenaan.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas daripada Puncak Niaga berhubung dakwaan TMRA.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS