Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP pertikai dakwaan PH hilang taring lepas MOU dengan k'jaan
Diterbitkan:  Dec 12, 2021 1:35 PM
Dikemaskini: 5:35 AM

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin mempertikaikan dakwaan rakan ahli parlimen Sabah bahawa kepimpinan Pakatan Harapan 'hilang taring' apabila memeterai memorandum persefahaman (MOU) antara kerajaan dan pembangkang.

Pemimpin DAP itu berkata dia keliru dengan pandangan Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking bahawa PH tunduk dengan isu perkauman dan agama dimainkan kerana MOU yang ditandatangani oleh gabungan itu.

“Saya bingung dengan Leiking kerana menyalahkan PH kerana menandatangani MOU dengan kerajaan persekutuan yang menurutnya telah mengakibatkan isu perkauman dan agama dimainkan.

“Leiking harus sedar bahawa dengan gencatan senjata sementara, maka semua ahli parlimen PH tidak akan menjejaskan kestabilan kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya ia boleh berfungsi tanpa rasa bimbang pentadbirannya akan runtuh.

"Ini sangat penting kerana Malaysia telah melalui tempoh yang tidak menentu dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan kerosakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada ekonomi," kata Chan pada satu kenyataan hari ini.

Chan (gambar, atas) juga berkata Leiking perlu sedar 'bahaya' yang dicetuskan oleh "kluster mahkamah" pemimpin Umno yang menghadapi pertuduhan jenayah dimahkamah.

“Mereka mengancam kerajaan untuk melepaskan diri mereka daripada pendakwaan yang membawa kepada kerajaan yang tidak stabil sehinggakan tidak mampu pulih daripada pandemik Covid-19.

"Dengan 92 ahli parlimen yang kukuh, PH menyeimbangkan kluster mahkamah yang terdiri daripada kira-kira 10 ahli parlimen tetapi mereka masih mempunyai akses terhadap kuasa melalui cengkaman pengaruh mereka," katanya.

Jelas Chan lagi, bukanlah suatu hal yang betul untuk memaksa pilihan raya umum awal apabila negara masih lagi bergelut dengan Covid-19.

Semalam, Leiking (gambar, bawah) yang juga timbalan presiden Warisan itu mendakwa kepimpinan Sabah yang diterajui partinya boleh menyelesaikan isu perkauman dan agama.

Katanya, ini kerana mereka tidak mempermainkan sentimen tersebut dan telah menunjukkan teladan di negeri itu.

Pun begitu, Chan berkata PH khususnya DAP, tidak pernah berkompromi dalam sebarang isu berkaitan amalan diskriminasi atas alasan agama mahupun kaum.

Jelas Chan lagi, Leiking mesti memahami MOU itu bukan untuk menjadikan Umno kurang sikap perkauman ataupun bertujuan menyebabkan PAS kurang konservatif agama.

“Dengan atau tanpa MOU, mereka akan tetap begitu.

“Sebab utama PH menandatangani MOU adalah untuk mendesak beberapa agenda reformasi penting seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua parti supaya perdana menteri tidak perlu dipaksa meletakkan jawatan sekiranya kehilangan majoriti di parlimen,” jelasnya.

Menamatkan MOU pada peringkat ini, katanya, hanya akan menggugat lagi kancah politik yang sudah berpecah-belah, memberi kelebihan kepada pemimpin tertentu dalam Umno.

Chan mendakwa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi terus mengasak perdana menteri untuk membubarkan parlimen supaya pilihan raya umum awal dapat berlangsung.

Ini katanya, tanpa mengambil berat mengenai kesihatan awam dan keselamatan rakyat serta peratusan keluar mengundi yang berkemungkinan rendah.

Sambil menghormati pendirian Warisan untuk tidak menyertai MOU tersebut, Chan menegaskan adalah tidak adil bagi parti dari Sabah itu mengambil kesempatan dan memutar belit fakta mengatakan ahli parlimen PH telah ditundukkan kerana MOU berkenaan.

Ahli parlimen DAP itu juga menggesa dan mengalu-alukan Warisan menyertai PH untuk memastikan perpaduan pembangkang.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS