PRN SARAWAK | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mengambil tindakan terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas didakwa menggunakan dewan pengundian bagi tujuan kempen parti pemerintah negeri itu.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution mendakwa Dewan Serbaguna Long Latei di DUN Telang Usan dipenuhi poster calon dan bendera GPS dan berlangsungnya program agensi kerajaan negeri.
"Hari ini, saya melihat satu lagi kejanggalan di Dewan Long Latei mendapati sedang berlangsung satu program kerajaan negeri Sarawak di bawah Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak yang berlindung di sebalik apa yang disebut sebagai program kajian masyarakat Penan yang melibatkan pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
"Dewan komuniti Long Latei ini adalah di mana tempat akan berlangsungnya proses pengundian pada 18 Nov nanti. SPR akan menggunakan dewan ini untuk proses pada hari mengundi.
"Tapi, kita boleh lihat dewan ini dipenuhi poster calon dan bendera GPS yang terang-terang sebenarnya menyalahi peraturan dan undang-undang pilihan raya," dakwanya kepada Malaysiakini.
Saingan bagi kerusi DUN Telang Usan pada PRN ini menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan penyandang Dennis Ngau (GPS-PBB) berdepan Philip Jau Ding (PKR), Gia Bala (PBK) dan Jau Jok@ Jenggo (PSB).
Ngau mempertahankan kerusinya pada 2016 dengan majoriti tipis 167 undi. Hari pengundian pada PRN Sarawak ini ditetapkan pada 18 Dis.
Sementara itu, Saifuddin juga meminta SPR bertindak segera terhadap agensi dan jabatan kerajaan negeri yang berkempen untuk parti politik.
"Tempoh kempen 12 hari ketika ini, berlaku penglibatan jabatan dan agensi kerajaan berlindung di sebalik kerajaan sebenarnya sedang menjalankan kempen untuk GPS.
"Adalah salah bagi agensi kerajaan menyertai dalam kempen PRN ini.
"Pendedahan ini saya buat untuk mendesak pihak yang bertanggungjawab khususnya jawatankuasa pemantauan di bawah SPR yang terdiri daripada pelbagai agensi bagi melakukan tindakan segera kerana ini adalah jelas pelanggaran terhadap pelbagai peraturan dan undang-undang pilihan raya," katanya.