Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bukan mudah lawan orang tersohor tapi kami perlu perubahan'

PRN SARAWAK | ‘Penganalisis’ politik di kedai-kedai kopi mungkin menyifatkan langkah Alias Mail bersaing dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, adalah seperti ‘menggali kubur sendiri’.

Namun pesara Jabatan Kastam Diraja Malaysia berumur 68 tahun itu bertekad untuk bertanding pada PRN itu kerana mempunyai misi membawa perubahan kepada sosioekonomi rakyat di Bukit Sari yang terletak di wilayah utara Sarawak itu.

Bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB), beliau juga meletak harapan yang tinggi untuk memastikan kesaksamaan pembangunan untuk semua kaum.

“Saya meneliti PSB ini, dia (parti) lebih kepada kesaksamaan dan keadilan semua kaum yang membuat saya tertarik, malah PSB memberi penghormatan amat tinggi (sebagai calon) kepada saya supaya berjuang bersama mereka.

“Kita mahukan kesamarataan dan keadilan kepada semua kaum, supaya semua etnik dan kaum (di Lawas) menikmati kemudahan dan pembangunan yang mampan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini di Lawas, yang terletak di sempadan Sabah-Sarawak.

Pada PRN kali ini, selain Alias, Parti Bumi Kenyalang (PBK) meletakkan calonnya Riyah Basrah dalam saingan tiga penjuru menentang Awang Tengah daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi merebut kerusi DUN itu.

Mengakui berhadapan Awang Tengah, seorang tokoh penting yang berpengalaman menjadi wakil rakyat selama enam penggal bukanlah suatu tugas yang mudah, tetapi ia tidak sesekali melunturkan semangatnya malah optimis untuk meraih sokongan pengundi di Bukit Sari.

“Bukannya mudah nak melawan orang (Awang Tengah) yang begitu tersohor, mempunyai kekuatan mantap, malah tidak pernah kalah…mengikut sejarah, saya tahu BN (Barisan Nasional) atau PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) di Lawas tidak pernah digugat mana-mana parti atau individu lain.

“Beliau (Awang Tengah) sudah begitu lama jadi wakil rakyat tempatan (Bukit Sari) jadi kita rasa macam kami perlu seseorang yang buat satu perubahan kepada rakyat keseluruhannya,” katanya.

Mengenai strategi kempennya, beliau bersama jentera PSB memutuskan untuk memfokuskan kempennya kepada beberapa kawasan tertentu di Bukit Sari menggunakan platform multimedia dalam usahanya meraih sokongan pengundi kawasan itu.

Pada PRN 2016, Awang Tengah menang tanpa bertanding di Bukit Sari manakala pada PRN 2011 beliau yang juga Timbalan Presiden PBB menang dengan majoriti 5,063 undi menewaskan calon PKR Japar Suyut.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DUN Bukit Sari mempunyai seramai 13,054 pengundi berdaftar. SPR menetapkan 14 Dis ini proses undi awal, manakala 18 Dis sebagai hari mengundi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS