Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Anwar kesal pengundi daerah mundur masih 'cium tangan' wakil rakyat

PRN SARAWAK | Presiden PKR Anwar Ibrahim meluahkan rasa kesalnya terhadap sikap sesetengah pengundi yang menurutnya sanggup “mencium tangan” wakil rakyat yang baginya gagal membawa kawasan mereka keluar daripada kemunduran.

Dalam kempen di Pusa hari ini, Anwar menyatakan daerah itu merupakan antara daerah termundur di Malaysia, meskipun terletak di negeri antara yang paling kaya.

Meskipun begitu, katanya, masih ada penduduk yang sanggup mencium tangan wakil rakyat setiap kali mereka melawat kawasan.

Pusa adalah daerah dalam bahagian Betong. Ia terletak dalam kawasan DUN Beting Maro.

“Sarawak antara negeri paling kaya di Malaysia. Rakyat, terutama di Pusa, antara paling miskin di Malaysia.

“Tapi bila YB datang, ‘ahak, ahak, ahak’,” katanya mengajuk bunyi ketawa sambil melakonkan adegan mengucup tangan.

“Apa jenis manusia begini?” soalnya.

Dia berceramah di padang futsal di Kampung Hilir Pusa, bagi membantu kempen calon PKR di Beting Maro, Abang Zulkifli Abang Engkeh, yang juga merupakan pemangku pengerusi PKR Sarawak.

Kerusi DUN itu disandang oleh Razaili Gapor daripada GPS. Pada PRN sebelumnya, dia mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2011, dengan majoriti 1,707 undi, menewaskan calon PAS dan Amanah.

Kali ini, selain Razaili dan Abang Zulkifli, turut bersaing merebut DUN tersebut adalah Jacky Chiew Su Chee dari Parti Bumi Kenyalang, Mohammad Arifiriazul Paijo dari PAS, dan calon bebas Safiudin Matsah.

Anwar juga berseloroh bahawa ketika dalam perjalanan ke Pusa, dia sendiri keliru apakah dia naik kereta atau perahu, kerana keadaan jalan yang teruk.

Katanya, ia menunjukkan sikap sesetengah wakil rakyat yang diberi kuasa, tetapi menggunakan kuasa untuk meraih kesenangan, tanpa mengira kaum atau suku.

“Yang rampas hak kita ini, orang semenanjung pun ada, orang Melanau pun ada, Iban pun ada. Sama saja. Bila ada kuasa, samun belaka. Nama YB, kerjanya samun.”

Justeru, kata Anwar, rakyat tidak harus membiarkan PRN kali ini menjadi medan pertarungan antara 'tauke-tauke balak', sedangkan pengundi terus terpinggir tidak mendapat apa-apa.

“Satu kelompok tauke balak sokong GPS, satu kelompok tauke balak sokong PSB (Parti Sarawak Bersatu). Kita, yang dapat habuk ni, yang tak dapat pembangunan, diminta sokong salah satu,” dakwanya.

“Saya kata, tolak kedua-duanya dan sokong PKR” katanya disambut tepukan oleh kira-kira 100 hadirin.

Kata Anwar, dia akan menanti-nantikan keputusan undian di Beting Maro pada hari mengundi 18 Disember nanti. Kekalahan PKR di situ, katanya lagi, pasti akan amat mendukacitakannya.

“Kalau menanglah parti lain di Beting Maro ini - 18 haribulan malam nanti saya tunggu - saya rasa sedih amatlah.

“Daerah yang paling miskin masih pilih parti kaya. Jangan. Daerah paling miskin mesti bangkit, nyatakan sikap!” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS