Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jangan putus harapan' - Kit Siang akui pengundi kecewa dengan PH

PRN SARAWAK | Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini mengakui pengundi masih merasa kecewa dengan pencapaian PH sepanjang tempoh pendeknya mentadbir negara.

Ketika ditemui pemberita di Sibu hari ini, Lim berkata ada usaha untuk mengubah keadaan itu namun ia tidak sempat berlaku disebabkan kejatuhan kerajaan PH.

“Saya tahu ramai yang tidak gembira tentang 22 bulan pentadbiran PH. Saya sendiri tidak gembira kerana saya yakin kita boleh melakukannya dengan lebih baik.

“Tetapi kita perlu ingat yang PH diberi masa lima tahun, bukan 22 bulan. Kemudian kami ditumbangkan dengan cara yang tidak demokratik dan tidak berperlembagaan sebelum penggal tamat.

“Saya beritahu (perdana menteri ketika itu) Dr Mahathir Mohamad sebelum genap setahun (pentadbiran), pada Julai 2019, yang saya bimbang jika kami tak dapat tunaikan janji dan dia setuju dengan cadangan saya berhubung jawatankuasa semakan terhadap janji kami.

“Saya harap dapat bertemu dengannya ketika pertengahan penggal, namun kerajaan runtuh dan tiada apa yang dapat kami lakukan,” katanya.

Sepanjang tempoh kempen, pengundi di beberapa tempat di Sarawak memberitahu Malaysiakini bahawa PH mengecewakan mereka.

Lim bagaimanapun menggesa pengundi agar tidak putus harapan, dan mengingatkan mereka yang PRU akan datang akan dilaksanakan tidak lama selepas PRN Sarawak.

“Kita mesti pegang harapan ini. Penting untuk menyalakan harapan baru di kalangan orang Sarawak dan rakyat Malaysia yang esok akan jadi lebih baik,” katanya lagi.

Ketika PRN Sarawak pada 2016, PH yang ketika itu masih dikenali sebagai Pakatan Rakyat menang 10 kerusi DUN.

Ketika itu, Pakatan Rakyat meraih 30.16 peratus undi. Ia meningkat kepada 43.4 peratus pada PRU2018, di tengah rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran Najib Razak dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ketika ditanya tentang sasaran DAP dalam PRN kali ini, dengan mengambil kira kempen utama dalam PRN sebelum ini adalah untuk menafikan majoriti dua pertiga gabungan pemerintah, Lim memberi jawapan bernada falsafah.

Dengan berbahasa Cina, Lim berkata: “Kita perlu memastikan yang kita mengekalkan bukit hijau kita, dan dengan itu hari esok akan jadi lebih baik.”

Dia juga menggesa penyokong DAP dan PH, terutama di Sibu, Kuching dan Miri, agar tidak putus “harapan” terhadap Malaysia yang lebih baik dan terus menyokong pembangkang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS