Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Warisan: Isu kaum dimainkan kerana PH tunduk pada k'jaan
Diterbitkan:  Dec 11, 2021 3:42 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Timbalan Presiden Warisan, Darrell Leiking berkata isu perkauman dan agama terus dimainkan kerana Pakatan Harapan (PH) terpaksa tunduk kepada kerajaan persekutuan melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA).

Tambahnya, di bawah kepimpinan Sabah isu perkauman dan agama tidak pernah dibangkitkan pemimpin mereka.

“Kita lihat rakan-rakan dalam pembangkang telah menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan Ismail Sabri Yaakob tetapi masalah ini masih berlarutan.

“Ada isu Timah, isu watak Cina... isu berkaitan agama walaupun ada MOU.

"Kenapa? Kerana mereka tahu bahawa mereka telah menundukkan rakan-rakan kita dalam pembangkang. Ia menyedihkan," kata Leiking dalam ucaptama pada perhimpunan agung tahunan sayap Warisan di Kota Kinabalu hari ini.

Timah merujuk kepada jenama wiski yang menjadi kontroversi selepas segelintir pihak dalam kerajaan mahu pengeluar mimuman keras itu menukar namanya dengan mendakwa ia hampir menyamai nama "Fatimah", puteri Nabi Muhammad.

PAS khususnya meminta kerajaan menutup syarikat minuman keras berkenaan. Kerajaan akhirnya bersetuju nama Timah dikekalkan dengan syarat ia disertakan label tambahan untuk menjelaskan asal usulnya.

Syarikat itu berkata Timah merujuk kepada bijih timah.

Kerajaan persekutuan baru-baru ini turut campur tangan selepas beberapa sekolah rendah aliran Cina bantuan kerajaan di Pahang menerima papan tanda nama sekolah baru tanpa tulisan Cina

Leiking berkata ramai rakannya dari PH menyatakan secara peribadi bahawa mereka tidak berpuas hati dengan MOU berkenaan.

Lebarkan sayap

Sementara itu Leiking menyatakan hasrat Warisan untuk melebarkan sayap parti itu di Semenanjung.

"Kenapa kita mesti pergi peringkat nasional? Kita mesti pergi ke nasional kerana Semenanjung Malaysia memerlukan kepimpinan Sabah.

"Kita akan selesaikan masalah ini seperti Timah, konflik agama dan bahasa kerana di Sabah, isu sebegini tidak berlaku. Kita bukan begitu.

“Perwatakan Sabah berbeza,” katanya.

Bagi tujuan itu, Leiking berkata Warisan mesti memenangi lebih banyak kerusi parlimen pada pilihan raya umum yang dijadualkan pada 2023.

“Kita mesti tunjukkan bahawa kita mempunyai banyak kerusi parlimen di parlimen apabila kita membentuk kerajaan dengan sesiapa sahaja yang boleh bekerjasama dengan kita selepas pilihan raya umum,” katanya.

Leiking turut memuji ahli Warisan yang kekal istiqamah bersama parti itu walaupun tidak memiliki kuasa.

Dia berkata komitmen mereka berbeza dengan pemimpin tertentu yang berpaling tadah daripada Warisan selepas berdepan tekanan daripada kerajaan.

Bagaimanapun, Leiking berkata ahli-ahli parti itu tidak seharusnya menyerang mereka yang melompat parti sebaliknya perlu memberi tumpuan untuk mendapatkan semula kuasa dalam pilihan raya akan datang.

Menerusi MOU yang ditandatangani kerajaan, PH bersetuju untuk tidak menghalang agenda utama kerajaan. Sebagai balasan, kerajaan persekutuan akan melaksanakan beberapa pembaharuan serta memastikan peruntukan sama rata diberikan kepada ahli parlimen PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS