Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH Sarawak: Hanya kami parti pembangkang 'tulen'
Diterbitkan:  Dec 11, 2021 2:29 PM
Dikemaskini: 6:29 AM

PRN SARAWAK |  Pakatan Harapan (PH) Sarawak menyifatkan gabungan itu sebagai blok pembangkang yang “tulen dan benar” menjelang hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Dalam sidang media di Kuching hari ini, Ketua PH Sarawak, Chong Chieng Jen menegaskan hanya mereka yang boleh memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara berkesan.

“Mungkin agak mengelirukan pengundi (mengenai) parti pembangkang mana atau parti mana yang hendak disokong.

"Kita bersatu menggesa (pengundi) mengundi pembangkang yang tulen dan benar dalam pilihan raya negeri ini.

“Parti-parti PH - PKR, DAP dan Amanah - kami mempunyai sejarah yang sudah lama bertapak dan telah melalui beberapa pilihan raya.

“Menang atau kalah, kami di sini untuk bersuara bagi rakyat dan memperjuangkan hak mereka,” katanya.

Chong yang juga calon DUN Padungan mengadakan sidang media bersama calon PH bagi Opar, Tasik Biru, Demak Laut, Tupong, Samariang, Satok, Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Batu Kitang, Batu Kawah, Asajaya, Muara Tuang, Stakan, Serembu, Mambong dan Tarat.

Pilihan raya kali ini menyaksikan tiga parti pembangkang yang besar bertarung menentang GPS di kebanyakan kerusi iaitu PH, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).

“Undi yang diberikan kepada mereka (parti pembangkang lain) akan menjadi satu pembaziran …

"Tidak ada gunanya mengundi parti pembangkang lain ... undi anda akan berpecah untuk memanfaatkan GPS," rayu Chong.

DAP dan PKR sebelum ini bertelagah mengenai peruntukan kerusi tetapi akhirnya menyaksikan kedua-dua parti itu tidak bertembung di mana-mana kerusi.

 'Kami hanya ada 22 bulan'

Chong dalam pada itu merayu kepada pengundi yang menganggap PH hanya mencapai kejayaan kecil ketika menjadi kerajaan persekutuan pada 2018-2020.

“Ada dakwaan bahawa PH selama 22 bulan dalam kerajaan, tidak melakukan apa-apa. Kami bersetuju bahawa kami tidak melakukan secukupnya.

“Tetapi untuk menilai 22 bulan PH dalam kerajaan untuk satu penggal... kami menyeru rakyat untuk memahami keadaan.

"Kami hanya ada 22 bulan untuk cuba membaiki kerosakan yang berlaku kepada negara selama 55 tahun," katanya.

Walaupun tempoh pentadbiran yang singkat, Ahli Parlimen Stampin dari DAP itu berkata PH telah berjaya memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Sekiranya tiada pertukaran kerajaan (dalam PRU14), Najib Razak akan tetap menjadi perdana menteri dan segala kekotoran, rasuah dan semua wang rakyat yang telah masuk ke 1MDB masih akan disapu di bawah karpet,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS