Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
GPS mahu Ali Biju cakap serupa bikin
Diterbitkan:  Dec 11, 2021 11:25 AM
Dikemaskini: 3:57 AM

PRN SARAWAK | Pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) meminta Ali Biju dari Bersatu agar "cakap serupa bikin" selepas menarik diri daripada bertanding di kerusi DUN Krian dan menyokong calon GPS.

Timbalan ketua menteri sementara, Awang Tengah Ali Hasan berkata, walaupun Ali mengumumkan menarik diri daripada bertanding di DUN berkenaan, namanya tetap tertera pada kertas undi.

“Jadi, saya harap beliau akan berusaha keras untuk menjelaskan kepada penyokong dan pengundinya supaya beliau dan penyokongnya akan menyokong calon GPS memandangkan beliau menjelaskan bahawa menjadi tanggungjawab beliau untuk menyokong calon GPS,” katanya dipetik Borneo Post.

Semalam Ali yang juga Ahli Parlimen Saratok berharap GPS akan memberikan laluan kepada Bersatu untuk mempertahankan kerusi parlimen itu dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang.

Harapan itu dinyatakan Ali selepas dia membuat keputusan menarik diri daripada bertanding di DUN Krian bagi memberi laluan kepada GPS di kerusi yang disandangnya sejak 2011.

Syarat kerjasama politik GPS ialah rakannya dari Semenanjung tidak bertanding di Sarawak.

Ketika GPS menjadi sebahagian daripada BN, Umno dan parti lain dari semenanjung juga tidak bertanding di negeri itu.

GPS adalah sebahagian daripada kerajaan persekutuan bersama PN, BN dan PBS.

Sementara itu, timbalan presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Anthony Nogeh Gumbek menggesa Ali untuk berkempen bagi memenangkan calon GPS.

“Memandangkan namanya masih akan tertera di kertas undi, saya menggesa Ali untuk mengiringi dan berkempen untuk calon GPS bagi menunjukkan keikhlasannya, yang dah lepas tu lepaslah,” katanya dipetik Borneo Post.

Ali memenangi kerusi DUN Krian pada pilihan raya negeri Sarawak 2016 di bawah tiket PKR dengan memperolehi 5,388 undi. Dia menewaskan pencabarnya dari BN yang memperoleh 3,748 undi.

PBB, PRS, PDP dan SUPP yang berada di bawah BN sebelum ini keluar daripada gabungan itu untuk membentuk GPS. Namun parti-parti berkenaan kekal mesra dengan BN.

Ali menyertai Bersatu pada 2020.

Semalam, Ali dipetik berkata akan "ke kampung-kampung dan setiap rumah panjang" untuk menerangkan kepada pengundi supaya tidak perlu memilih dirinya tetapi "pangkah calon GPS."

"Ini saya akan buat semasa saya berjumpa pengundi di peringkat akar umbi,” kata Ali, penyandang kerusi DUN Krian.

Ali berkata demikian pada pada sidang media, yang turut dihadiri Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali.

“Kita kena tenangkan penyokong saya yang selama ini setia selama 10 tahun, dan dengan kenyataan baik dan bermakna, maka saya rasa penyokong-penyokong saya boleh menerima, iaitu kita memberi laluan kepada GPS dan menyokong calon GPS di Krian,” kata Ali yang juga ahli parlimen Saratok.

Memandangkan namanya masih terpapar dalam kertas undi, Ali juga ditanya jika kemungkinan dirinya boleh menang pada pilihan raya ini..

“Ia hanya spekulasi.”

“Kemenangan GPS juga adalah kemenangan saya, kalau GPS menang saya juga menang,” kata Ali. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS