Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Presiden PDP nafi tawar RM500 bagi setiap undi di DUN Dudong
Diterbitkan:  Dec 11, 2021 9:12 AM
Dikemaskini: 1:14 AM

Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Tiong King Sing menafikan dakwaan bahawa dia menawarkan RM500 bagi setiap undi pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.

Sebaliknya Tiong, yang bertanding di kerusi DUN Dudong berkata, dakwaan tersebut bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya.

“Ada khabar angin mengatakan Tiong King Sing mempunyai kekayaan yang membolehkan saya membeli undi pada harga RM500 setiap undi malah RM1,000 untuk satu pintu di rumah panjang.

“Malah ada orang kata saya akan taburkan ‘hadiah percuma’. Khabar angin ini kini tersebar di media sosial.

"Malangnya, khabar angin ini juga telah mencetuskan kekecohan dalam kalangan masyarakat rumah panjang. Oleh itu, saya ingin menegaskan bahawa saya menafikan sepenuhnya khabar angin ini sebagai dakwaan berniat jahat untuk memburukkan nama saya pada pilihan raya ini," kata Tiong dalam satu kenyataan.

Tiong, yang juga Ahli Parlimen Bintulu, menegaskan dia tidak pernah membeli undi sepanjang lima penggal berkhidmat sebagai ahli parlimen.

“Pengundi mesti memilih saya untuk mendukung kawasan mereka berdasarkan rekod perkhidmatan dan keikhlasan saya untuk membawa perubahan sebenar kepada rakyat.

"Saya tidak perlu mengulangi pencapaian saya di Bintulu kerana saya percaya rakyat mengetahuinya. Undi mereka sudah cukup membuktikan rekod prestasi saya," katanya.

Pada pilihan raya negeri 2016, BN Sarawak (kini GPS), menang dengan 9,700 undi di DUN berkenaan. DAP memperolehi 7,554 undi, manakala dua calon bebas dan Star memperoleh sejumlah 3,668 undi.

PDP ialah salah satu daripada empat parti komponen dalam GPS. Tiga lagi ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Tiong berkata dia akan membuat laporan polis sekiranya khabar angin "berniat jahat" terhadapnya tidak dihentikan.

Dalam pada itu, Tiong mendakwa terdapat parti politik lain menawarkan wang kepada pengundi untuk membeli undi.

“Saya juga ada dengar parti politik lain berhasrat untuk membeli undi. Pengundi mesti berfikir dengan teliti sebelum menerima godaan mudah ini tentang jenis ahli politik yang mereka inginkan.

"Adakah mereka mahu seseorang yang berpendapat bahawa politik wang akan menyelesaikan apa-apa? Adakah ahli politik ini benar-benar mengambil berat untuk membawa pembangunan ke tempat itu atau adakah mereka hanya melakukannya untuk kepentingan peribadi dan kemasyhuran?" katanya.

Rakyat Sarawak akan keluar mengundi pada 18 Dis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS