Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ali Biju harap pengorbanan di Krian dibalas GPS di Saratok

PRN SARAWAK | Ahli Parlimen Saratok Ali Biju berharap Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memberikan laluan kepada Bersatu untuk mempertahankan kerusi tersebut dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti.

Harapan itu dinyatakan Ali selepas dia membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding bagi memberi laluan kepada GPS di kerusi DUN Krian yang disandangnya sejak 2011.

"Inilah yang kita harapkan, supaya pengorbanan kita kali ini memberikan laluan kepada GPS di Krian, maka PRU ke-15 nanti kita minta jugalah GPS memberi laluan kepada Bersatu.

"Ini yang kita minta, sebab pengorbanan ini adalah pengorbanan dari kedua-dua belah pihak," katanya kepada pemberita.

Ali berkata demikian dalam sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Saratok malam ini. Turut hadir dua ahli parlimen Bersatu, Mohamed Azmin Ali dan Mohd Rashid Hasnon.

Ali semalam mengumumkan untuk menarik diri daripada persaingan PRN di Krian bagi menyokong calon GPS, setelah mendaftar sebagai calon bebas pada hari penamaan baru-baru ini.

Dalam PRN ini Bersatu memutuskan untuk tidak meletakkan calon bagi merebut mana-mana kerusi, dan memberikan sokongan kepada GPS.

Henti singgung-menyinggung

Untuk rekod, meskipun sudah mengumumkan menarik diri, nama Ali akan tetap tercatat pada kertas undi nanti bersama tiga calon lain - Musa Dinggat (Parti Sarawak Bersatu), Danny Kuan (Parti Bumi Kenyalang) dan Friday Belik (GPS-Parti Demokratik Progresif Sarawak).

Disoal sekiranya dia tetap menang memandangkan rekod baiknya di Krian selama ini, Ali menjawab itu hanyalah spekulasi.

"Itu adalah spekulasi. Saya tak dapat respons dengan spekulasi tersebut," katanya.

Bagaimanapun, menurut Ali, mulai lusa dia akan melakukan kempen secara aktif di rumah-rumah panjang bagi menerangkan kepada pengundi supaya tidak memangkah namanya, sebaliknya menyeru mereka mengundi calon GPS.

Susulan keputusan yang diambilnya untuk membantu calon GPS, Ali meminta agar tiada kenyataan yang menyinggung mana-mana pihak dikeluarkan.

"Saya minta apa-apa kenyataan dibuat oleh pihak GPS semasa kempen ini adalah kenyataan yang sepatutnya mengurangkan ketegangan ini.

"Sebab kita sudah bersama, kita sudah menyatakan sokongan, jadi kenyataan-kenyataan menyinggung perasaan satu sama lain itu kita perlu hentikan demi kemenangan GPS di Krian.

"Dengan kenyataan baik dan bermakna maka saya rasa penyokong-penyokong saya boleh menerima iaitu kita memberi laluan kepada GPS dan menyokong calon GPS di Krian," katanya.

"[...] Saya yakin dengan sokongan kepada calon GPS, GPS akan menang di DUN Krian, sebab kemennagan GPS juga kemenangan saya. Kalau GPS menang saya juga menang," tambahnya.

Sementara itu, Azmin merakamkan penghargaan kepada Ali yang menurutnya telah melakukan "pengorbanan besar" demi memperkukuh hubungan antara Bersatu dan GPS.

"Kita sedia maklum apabila berlaku perubahan kerajaan persekutuan pada 2020, GPS telah memainkan pernanan yang besar untuk bersama-sama membentuk sebuah kerajaan persekutuan yang baru.

"Dan kali ini ada perbincangan dan persefahaman antara Muhyiddin Yassin (presiden Bersatu) dan Abang Johari Openg (pengerusi GPS), tentang kerangka besar poltik nasional.

"Ini penting untuk menjamin kerjasama persekutuan dan negeri berjalan lancar," katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS