Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Bersatu saran ahli parti yang bertanding turut tarik diri

PRN SARAWAK | Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin menasihati tiga lagi ahli Bersatu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) agar mengikut jejak langkah Ali Biju dan menarik diri.

Willie berkata mereka sepatutnya akur dengan persefahaman antara Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Ketua Menteri Abang Johari Openg.

Persefahaman itu menyaksikan Bersatu tidak bertanding pada PRN Sarawak.

“Kita di peringkat parti mendengar nasihat presiden dan dia telah mengarahkan semua ahli parti supaya membantu serta menyokong calon-calon GPS,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia di Kampung Pichin, Serian hari ini.

Willie diminta mengulas tindakan Naib Pengerusi Bersatu Sarawak Ali Biju semalam yang mengumumkan menarik diri daripada bertanding di DUN Krian sebagai calon bebas dan berikrar memberi sokongan penuh kepada calon GPS iaitu Friday Belik.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata ahli Bersatu sepatutnya bekerjasama supaya wujud kesinambungan yang akan membawa kepada kestabilan politik bukan sahaja di peringkat negeri malah di peringkat persekutuan.

“Dari segi demokrasi, hak mereka untuk bertanding tidak boleh dinafikan kerana mereka boleh letak jawatan dan bertanding sebagai calon bebas… itu hak mereka... tetapi kita perlu melihat dari segi kerangka yang lebih besar dan gambaran yang lebih luas dalam senario politik pada masa hadapan,” katanya.

Difahamkan ahli Bersatu lain yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRN Sarawak ialah Siki Balarik di kerusi DUN Belaga, Ricky Enteri (DUN Bawang Assan) dan Ismawi Muhammad (DUN Muara Tuang).

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak ditetapkan pada 6 Dis manakala pengundian awal pada 14 Dis dan pengundian pada 18 Dis.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS