Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes buka zip pemimpin akar umbi MIC dirujuk kepada Pejabat AG

Polis menyerahkan kertas siasatan berhubung kes gangguan seksual yang didakwa melibatkan seorang pemimpin akar umbi MIC di Perak kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata pihaknya sedang menunggu keputusan AGC sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

"Kita sudah rujuk kepada Pejabat Peguam Negara minggu lepas.

"Ia masih dalam kajian AGC," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Demikian katanya ketika mengemas kini status terkini kes gangguan seksual susulan laporan polis seorang wanita di Sungai Siput.

Kes itu disiasat bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah).

Pengadu yang juga setiausaha sebuah NGO membuat laporan pada 25 Nov mendakwa seorang pemimpin akar Umno MIC mengeluarkan kata-kata tidak sopan dan membuka zip seluar.

Wanita itu mendakwa tindakan itu dibuat selepas berlaku ketegangan setelah dia, ahli NGO dan pegawai Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) meninjau masalah longkang tersumbat di Taman Muhibbah Jaya.

Dakwanya, mereka dihalau oleh beberapa ahli MIC yang mendakwa sedang cuba menyelesaikan isu itu dan memberi amaran kepada NGO tersebut supaya tidak campur tangan.

Bagaimanapun, Pengerusi MIC Sungai Siput K Manimaran menafikan dakwaan tersebut.

Sementara, sayap pemuda MIC Sungai Siput juga membuat laporan polis pada 29 Nov mendakwa wanita tersebut sengaja membuat provokasi.

Dalam laporan itu, timbalan ketuanya M Chandra Segaran berkata wanita itu mencetuskan provokasi dengan memanggil orang MIC sebagai pondan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS