Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pelajar membuli: Mara sedang siasat dengan rapi, kata Mahdzir
Diterbitkan:  Dec 10, 2021 3:52 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak akan berkompromi dalam isu salah laku termasuk buli jika benar ada pelajarnya yang terlibat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mahdzir Khalid, berkata Mara memandang serius isu tersebut dan akan melaksanakan siasatan terperinci mengenainya sebelum tindakan wajar diambil.

"Saya telah mengarahkan pihak pengurusan Mara untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes berkenaan dan kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku buli seperti yang tular di media sosial hari ini," katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Mahdzir berkata demikian sebagai mengulas satu lagi klip video membabitkan sekumpulan remaja - didakwa penuntut Maktab Rendah Sains Mara - membuli seorang pelajar.

Mangsa dilihat berdiri saja ketika ditumbuk salah seorang suspek dalam klip video pendek tersebut

Ia kemudian menimbulkan kemarahan orang ramai khususnya selepas beberapa kes buli sehingga menyebabkan kematian dilaporkan akhir-akhir ini.

Mahdzir berkata jika siasatan itu mendapati memang pelajar Mara yang terlibat, mereka akan dikenakan tindakan tegas berdasarkan peruntukan dan peraturan sedia ada.

"Mara juga tidak sesekali memberi ruang kepada sebarang tindakan atau perbuatan salah laku yang menyalahi etika kemanusiaan," katanya.

Sementara itu Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengesahkan insiden tersebut tidak berlaku dalam institusi kendalian pihaknya.

Namun Kementerian Pendidikan Malaysia telah berhubung dengan pihak yang terlibak dimaklumkan bahawa tindakan susulan telah pun diambil.

"KPM komited untuk menyediakan persekitaran sekolah yang selamat selaras dengan konsep Sekolahku Sejahtera," katanya dalam kenyataan di media sosial petang ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS