Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pertemuan 19 datuk bandar selatan Filipina bincang isu keselamatan

Perjumpaan 19 ‘datuk bandar’ selatan Filipina baru-baru ini adalah berkaitan perbincangan bagi menjaga keselamatan dan rancangan mempertahankan kawasan itu daripada elemen menggugat keselamatan, bukan merancang plot baru menawan Sabah.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Hazani Ghazali, berkata berita palsu berkenaan dimanipulasi individu tertentu yang cemburu dengan keamanan dan keselamatan dikecapi Sabah serta Malaysia keseluruhannya.

"Maklumat itu tidak sahih. Polis mendapat maklumat perjumpaan itu terfokus untuk keselamatan di sana bagi mempertahankan diri mereka daripada elemen pengganas, lawless elements dan sebagainya.

"Kemudian mereka hendak menjemput lebih ramai pelabur masuk (ke kawasan itu).

"Maklumat ini dimanipulasi, ia bukan perlakuan daripada negeri (kerajaan) tapi lebih kepada individu.

"Walau apapun pihak keselamatan sentiasa bersedia, Sabah dan seluruh Malaysia kita sentiasa bersedia, ini bumi kita tetap kita akan pertahankan," katanya pada sidang media di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu hari ini.

Terdahulu, Hazani menghadiri majlis serah terima tugas Komander Eastern Command daripada Ahmad Fuad Othman kepada Hamzah Ahmad, disaksikan Ketua Menteri Hajiji Noor dan Pesuruhjaya Polis Sabah Idris Abdullah.

Baru-baru ini, media melaporkan satu mesyuarat bagi membincangkan rancangan menyerang Sabah dipercayai diadakan di selatan Filipina.

Ia kononnya membabitkan rancangan merekrut 600 individu untuk menyerang Sabah serta menghantar pengintip.

Hazani berkata pihak keselamatan di negara ini mempunyai kerjasama erat dengan pasukan keselamatan jiran melibatkan pertukaran maklumat dan pelbagai elemen bersama.

"Setiap kali ada acara besar di sana seperti pilihan raya akan timbul perkara seperti ini... kita ada kerjasama, jika ada ancaman pasukan keselamatan negara jiran akan salur maklumat kepada kita, seperti kumpulan Abu Sayyaf masuk Sabah kita terima maklumat daripada mereka," katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata beliau akan memastikan kerjasama erat terjalin dengan semua pasukan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah bagi menjaga ketenteraman di kawasan tersebut terutama di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone).

"Saya akan semak semula apa perlu diberi penambahbaikan dan buat pembaharuan dalam usaha penugasan keselamatan ini bagi memastikan kita berada dalam keadaan selamat dan baik sentiasa," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS