PAS sedia menjalinkan hubungan dengan parti serpihannya Amanah atas nama perpaduan ummah, jika parti itu sedia menghentikan kerjasama dengan DAP.
Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah membangkitkan kerjasama antara parti itu dengan Bersatu.
“Masa dulu kita tolak Bersatu kerana dia bersama DAP. Bila mereka terpisah maka kita boleh berbincang.
“(Tapi) Masa depan kita tak tahu, tapi masa ini realitinya, politik ini dinamik dan kita pula lihat keperluan semasa dan kepentingan agama dan negara,” katanya ketika ditemui di Program Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih 2021 dan Pelancaran Zon Bersih, Indah dan Ceria PBT Negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
“Mungkin suatu masa nanti (kerjasama dengan Amanah), hari ini isu yang paling besar Amanah itu masih bersengkongkol dengan DAP," katanya lagi.
Amanah adalah parti serpihan PAS setelah bekas timbalan presidennya Mohammad Sabu bersama-sama sejumlah lagi tokoh lain keluar parti dan menubuhkan Amanah.
Parti itu kemudian menyertai gabungan pembangkang PKR, DAP dan Bersatu yang akhirnya pertama kali menumbangkan BN dalam PRU 2018.
Mohd Amar berkata demikian susulan Exco Pemuda Umno Dr Najmil Faiz Mohamed Aris yang mencabar parti itu untuk menerima Amanah dalam Muafakat Nasional.
Dia berkata PAS perlu membuktikan parti itu memang berpegang kepada apa yang disifatkan sebagai dasar penyatuan ummah.
Hubungan antara Umno dan PAS sebelum ini dilihat menjadi renggang selepas PAS memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan Bersatu, termasuk dalam PRN Melaka bulan lalu.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata PAS tidak boleh menjalinkan hubungan dengan Umno sahaja, justeru "meneroka ruang lebih besar" menerusi Perikatan Nasional (PN).
"Dan mengambil kita kedudukan politik negara, yang mana kita hormat sifat majmuk di Malaysia, kita tak ikat dengan Muafakat Nasional (MN) saja yang lebih bersifat eksklusif. PAS dan Umno adalah Melayu dan Islam sahaja.
"Sedangkan orang bukan Islam dan bukan Melayu juga perlu kita dekati untuk membina Malaysia yang lebih baik. Sebab itu PAS menjadi jambatan antara MN dan PN," katanya lagi.