Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lagi pekerja hospital didakwa terima rasuah uruskan jenazah
Diterbitkan:  Dec 9, 2021 1:33 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Selepas tiga rakan sekerjanya didakwa di Shah Alam semalam, seorang lagi kakitangan Hospital Kajang, Selangor didakwa di Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah berhubung pengurusan jenazah April tahun lepas.

Tertuduh Mohd Fariq Ariffin, 34, penolong pegawai perubatan, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim M. Bakri Abd Majid.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Fariq yang bertugas di Unit Forensik Hospital Kajang didakwa menerima rasuah sebanyak RM1,750 di CIMB Cawangan Bercham, Ipoh antara 28 April lepas hingga 5 Feb ini.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin di samping syarat tambahan untuk melaporkan diri setiap awal bulan di pejabat SPRM terdekat selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pendakwaan hari ini dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Syahrul Nizam.

Mahkamah turut membenarkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk disebut semula pada 10 Jan bersama tiga tertuduh lain.

Pada Rabu, tiga kakitangan Hospital Kajang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan yang sama.

Media pada 8 Okt lepas melaporkan lima kakitangan jabatan forensik sebuah hospital di Selangor ditahan berhubung kes rasuah pengurusan jenazah dipercayai mengaut untung kira-kira RM22,000 dalam tempoh dua tahun sejak 2019.

Petugas kesihatan itu menerima habuan RM300 hingga RM400 bagi setiap jenazah daripada ejen mengikut jenis kematian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS