mk-logo
Berita
Palsu: Poster selamat datang Najib ke Penjara Sungai Buloh
Diterbitkan:  Dec 8, 2021 4:49 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Suatu poster yang mengalu-alukan bekas perdana menteri Najib Razak ke Penjara Sungai Buloh telah tular di media sosial.

Ini susulan keputusan mahkamah rayuan pagi ini yang mengekalkan sabitan terhadap Najib dalam kes rasuah SRC International.

Poster yang mempunyai logo Jabatan Penjara itu menyatakan 'Selamat Datang ke Penjara Sungai Buloh' kepada Najib, dengan frasa sindiran yang memberitahunya amaran "sabun jatuh, jangan peduli."

Jabatan Penjara kemudian menafikan pihaknya mengeluarkan mesej itu.

"Penyebaran berita palsu," katanya pada satu kenyataan ringkas yang disiarkan di Twitter dan Facebook.

Turut dilampirkan salinan poster itu, yang telah terpampang catatan huruf besar 'Palsu'.

Awal hari ini, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan bersalah dan sabitan hukuman terhadapnya membabitkan tujuh pertuduhan merangkumi salah guna kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Panel tiga hakim yang bersidang dipengerusikan oleh Hakim Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara membuat keputusan itu.

Ini selepas mereka mendapati Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak tersilap dalam penghakimannya untuk mensabitkan Najib pada tahun lepas.

Bekas perdana menteri itu memohon untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas, yang mendapati dia bersalah atas satu pertuduhan salah guna jawatan sebagai perdana menteri ketika itu, tiga pertuduhan jenayah pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana daripada SRC.

Mahkamah juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan Nazlan terhadap Najib, dengan mengatakan bahawa mereka tidak keterlaluan dengan mengambil kira fakta kesalahan.

Pun begitu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan ahli parlimen Pekan itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya di mahkamah yang lebih tinggi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS