Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Setibanya hari minggu, pekan Julau yang kecil menjadi meriah. Penduduk sekitar - seperti dari Kanowit dan Pakan - datang ke pasar di Julau bagi mendapatkan aneka hasil sayur hutan dari rumah panjang sekitar.

Jalan sesak dengan motokar dan motosikal. Orang sibuk lalu-lalang, dan kedai-kedai makanan pun penuh.

Dalam keghairahan orang berbelanja, jika kehabisan wang di pekan Julau pada hari minggu, mereka mungkin terpaksa berdepan masalah untuk mengeluarkan duit.

Menurut Paulus, 60, seorang pekebun, jika pada hari minggu, selalunya sebelum menjengah tengah hari, wang di satu-satunya mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di pekan kecil itu sudah kehabisan.

“ATM satu sahaja. Tak cukup. Selalu habis. Hari minggu, jam 11 pagi sudah habis (duit),” katanya ketika ditemui di pekan Julau.

Dia merujuk ATM Bank Rakyat, yang terletak tidak jauh dari pasar tamu Julau, tempat orang berniaga dan berjual-beli. Itulah satu-satunya tempat penduduk boleh mengeluarkan not duit. Tetapi di situ tiada mesin deposit tunai (CDM).

Di pekan Julau juga tiada bank. Bermakna, jika penduduk mahu melakukan deposit wang, mereka harus ke pekan lain memakan masa berpuluh minit perjalanan.

Melawat ATM tunggal di Pekan Julau itu pada hari bekerja, ketika pagi, kelihatan orang beratur panjang mahu mengeluarkan duit. Ketika didekati, beberapa daripada mereka mengaku bahawa wang di ATM itu memang selalu kehabisan.

Seorang pemuda peniaga pakaian di pekan Julau memberitahu Malaysiakini, meskipun jalan raya dan hubungan internet di Julau semakin baik, masalah ATM sudah sekian lama tidak dapat diselesaikan - seperti juga masalah ketiadaan stesen minyak dan kekurangan parkir.

“Sama saja dari dulu sampailah sekarang. Bank tiada. ATM saja ada,” katanya yang menambah bahawa jika mahu membuat urusan di bank, penduduk harus ke Bintangor, atau ke Sibu Jaya.

Jika berjalan di Pekan Julau, bukanlah bukanlah suatu pemandangan yang aneh jika terlihat penunggang motosikal membimbit botol air 1.5L berisi petrol untuk dituang ke tangki motosikal, seperti lazim berlaku di pekan-pekan yang tidak ada stesen minyak.

Petrol yang diisi di dalam botol itu ada dijual di kedai runci pada harga RM4 sebotol.

 

Namun, yang menyebalkan sesetengah penduduk, adalah apabila mereka sudah lama dijanjikan dengan pembinaan kemudahan tersebut sejak berpenggal-penggal pilihan raya. Namun sehingga kini, semuanya hampa.

“Tak silap saya, sudah empat kali pilihan raya. Stesen minyak, balai bomba, hospital.

“Masa bertanding, berjanji macam-macam. Sekarang kita tengoklah macam mana,” kata seorang peniaga makanan yang dijumpai.

Berdasarkan pemerhatian, pada bukan hari minggu, pekan itu tetap sesak pada pagi, namun keadaan mula memerlahan menjelang tengah hari, dan lengang menjelang petang.

Pekan Julau terletak dalam DUN Meluan, salah satu daripada dua DUN di bawah Parlimen Julau.

Pada pilihan raya negeri (PRN) yang ke-12 ini, Meluan menyaksikan pertembungan tiga penjuru, antara penyandang Rolland Duat Anak Jubin (GPS-PDP), Elly Lawai Anak Ngalai (PSB), dan Abdul Hamid bin Siong (PBK).

 

Dalam PRN11 pada 2016, DUN Meluan menjadi antara kerusi sengit, apabila Rolland meraih 37.4 peratus, diikuti Elly (yang ketika itu bertanding bebas) dengan 29.9 peratus undi, seterusnya calon dari PKR dengan 22.3 peratus undi. Seorang lagi calon bebas mendapat 10.4 peratus undi.

Tetapi kali ini, PKR tidak mempertaruhkan calon di Meluan. Justeru, isu-isu berbangkit tentang kemudahan asas yang dibangkitkan penduduk tentunya menjadi faktor penting dalam menarik undi PKR yang kini pastinya menjadi rebutan.

Isu keterhubungan jalan

Satu lagi isu yang dibangkitkan Paulus, ialah keterhubungan jalan. Katanya, memandangkan kampung-kampung di hulu sungai tidak dapat dihubungi menerusi jalan raya, mereka terpaksa bergerak menggunakan perahu panjang.

Ia, katanya, menyukarkan penduduk di hulu sungai untuk membawa keluar tanaman seperti lada dan getah.

Seperti kemudahan lain, janji untuk pembinaan jalan juga sudah begitu lama ditabur, namun jalan tetap belum ada di sesetengah tempat.

“Dari saya 28 tahun, sehingga sekarang sudah mahu 60 tahun.”

Mengulas isu yang disuarakan penduduk kepada Malaysiakini, Elly menegaskan GPS gagal membawa perubahan meskipun telah lama memerintah - sejak masih bersama BN.

Tiada stesen minyak, tempat tamu, parkir kereta, premis berniaga yang terhad, serta masalah bekalan air merupakan antara masalah yang ditekankan Elly. Justeru katanya, rakyat harus memilih perubahan.

Jika terpilih, Elly berjanji akan membangunkan kemudahan dan infrastruktur asas yang lebih baik, termasuklah internet, bekalan air serta elektrik ke rumah-rumah panjang dan luar bandar.

Dia juga mahu memastikan jaringan jalan raya ke semua rumah panjang, sekolah dan klinik di luar pekan Julau bagi memudahkan penduduk mendapatkan rawatan dan pendidikan, serta memudahkan jualan hasil pertanian mereka seperti buah kelapa sawit, lada dan sayur.

Bagaimanapun, bagi Rolland, meskipun mengakui penduduk marah mungkin disebabkan janji-janji tidak dikota oleh wakil rakyat terdahulu, sebagai Adun sejak sepenggal lalu, dia telah melakukan pelbagai usaha bagi menangani isu yang dibangkitkan.

 

Antaranya, usaha di bawah program transformasi luar bandar (RTP) dan skim pembekalan elektrik alternatif luar bandar Sarawak (Sares), yang mana setelah siap kerja pendawaian nanti, 100 peratus rumah panjang akan mempunyai bekalan elektrik meskipun yang jauh di pedalaman.

Tambah Rolland, dia juga akan berurusan terus dengan ketua menteri yang akan memudahkan proses untuk mendapatkan stesen minyak di Julau; telah mengarahkan agar ATM ditambah wang dengan lebih kerap; selain sedang dalam proses memohon pemasangan CDM.

“Perancangan sudah cukup rapi. Saya tahu pembangkang memang mencari ruang untuk masuk, dia cari lubang-lubang. Sekurang-kurangnya, kita ada tutup lubang-lubang itu, lubang yang besar kita sudah kecilkan. Rakyat nampak dalam lima tahun, banyak pembangunan yang dibawa,” katanya kepada Malaysiakini.

 

Pun begitu, Rolland mengakui masalah jalan yang dibangkitkan, malah melihatnya sebagai cabaran terbesarnya sebagai Adun. Katanya, isu itu memang menjadi keutamaannya, sambil menyenaraikan projek pembinaan dan penaiktarafan yang dirancang.

Ahli Parlimen Julau, Larry Sng, yang memilih untuk menyokong GPS dalam PRN ini, juga memaklumkan progres yang cukup baik di kawasan parlimennya, termasuk projek telekomunikasi yang akan berjalan tahun ini, balai bomba, serta penambahan ATM.

“Kita juga sudah ada tiga syarikat yang beratur untuk membina stesen minyak. Jadi, secara umumnya, perkara benar-benar sedang berjalan.

“Kenapa ia tak berjalan pada masa lepas, itu saya tidak tahu. Saya fikir, mungkin kerana kurangnya usaha dan komunikasi dan koordinasi antara ahli parlimen dan Adun. Tetapi untuk kes ini, saya dapat lihat ia berjalan lancar.

“Saya harap dapat mengekalkan hubungan kerja yang rapat, dan juga untuk melihat rakyat mendapat sebanyak mungkin pembangunan dalam masa yang paling singkat,” katanya lagi.

 

Dengan ketiadaan PKR kali ini, baik Rolland mahupun Elly kedua-duanya yakin akan dapat memancing hati pengundi di DUN Meluan yang mempunyai 14,671 pengundi itu.

Kata mereka, mereka sudah lama berkempen, turun padang mendekati rakyat sehingga ke pedalaman untuk bertahun-tahun lamanya, sementalahan kedua-duanya memang anak tempatan.

“Saya sangat yakin. Saya sedang melakukan pelbagai perkara, saya turun padang banyak kali untuk mendekati penduduk.

“Saya memang yakin. Sebab saya tahu saya boleh berkhidmat dengan baik. Saya dah buktikan saya dapat berkhidmat dengan baik, rakyat nampak. Sebab itu dalam PRN ini, saya yakin saya dapat menang,” kata Rolland.

Elly pula menjangkakan dia dapat menarik sekurang-kurangnya dua pertiga daripada undi pengundi PKR pada PRN 2016 lalu.

“Di bawah kerajaan GPS, pembangunan banyak berlaku di bandar-bandar utama dan daerah tertentu sahaja. Kawasan luar bandar selalu dipinggirkan dan serba kekurangan.

“PSB akan membawa perubahan keadilan dan kesamarataan untuk semua rakyat Sarawak tanpa mengira kaum dan agama. Tanah sarawak milik semua anak Sarawak, maka semua hasil bumi dan kekayaan mesti di kongsikan bersama,” katanya Elly.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS