Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib hadir prosiding maya lepas diberi amaran Mahkamah Rayuan

Najib Razak hadir prosiding mahkamah yang dijalankan secara dalam talian semasa pendengaran permohonan bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan bukti baru dalam rayuan kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Dengan memakai sut berwarna krim, dia dilihat pada prosiding menggunakan aplikasi Zoom yang disiarkan secara langsung kepada media di Istana Kehakiman hari ini. Prosiding bermula pada jam 12.30 tengah hari.

Awal pagi ini, Najib tidak hadir dalam prosiding fizikal di hadapan tiga orang panel Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Abdul Karim Abdul Jalil.

Abdul Karim, bagi pihak panel, kemudian mengeluarkan amaran agar bekas perdana menteri itu menghadiri prosiding Zoom pada 12.30 tengah hari, dan berkemungkinan berdepan risiko pembatalan ikat jamin dan tangkapan jika tidak hadir.

Prosiding hari ini mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru yang boleh menguatkan kesnya dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukumannya dalam kes SRC.

Najib dilihat mengikuti prosiding itu, ketika peguam bela utamanya Muhammad Shafee Abdullah dan timbalan pendakwa raya berhujah, dengan diperhati hakim mahkamah secara dalam talian.

Panel hakim lain ialah Has Zanah Mehat dan Abdul Vazeer Mydin Meera.

Permohonan itu dibuat dalam beberapa hari selepas keputusan yang dijadualkan esok dalam rayuan Najib untuk membatalkan keputusan bersalahnya serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes SRC.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyampaikan keputusan itu susulan perbicaraan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana daripada SRC.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS