Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Edict sambut baik unit siasatan jenayah siasat kematian tahanan
Diterbitkan:  Dec 7, 2021 9:03 AM
Dikemaskini: 2:21 AM

Penubuhan Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Lokap di bawah PDRM merupakan permulaan ke arah reformasi sistem dalam kes-kes melibatkan kematian dalam tahanan, kata kumpulan hak asasi manusia, Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict).

NGO itu dalam kenyataannya menyambut baik pengumuman Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin mengenai penubuhan unit siasatan yang baru itu semalam.

"Edict ingin mengalu-alukan penubuhan unit siasatan yang baru ini bagi menyiasat kes kes kematian dalam tahanan polis.

"Dengan wujudnya unit khas ini, Edict mengharapkan agar siasatan dapat dijalankan dengan penuh telus dan terbuka agar keputusan siasatan tersebut diyakini oleh orang awam.

"Siasatan juga hendaklah dibuat di bawah Kanun Keseksaan dan pendakwaan harus dilakukan sekiranya wujud unsur jenayah, kecuaian atau pengabaian tugas dalam mana-mana kes,” katanya.

Edict berkata penubuhan unit khas itu juga adalah selaras dengan saranan Mahkamah Tinggi di dalam kes yang difailkan oleh Ganga Gowri, kakak kepada Gunasegaran Rajasundram yang meninggal dunia dalam tahanan pada 16 Julai 2009, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Jelasnya, Hakim Mahkamah Tinggi, Kamardin Hashim membuat keputusan adalah wajar pegawai penyiasat daripada balai polis atau IPD yang lain menjalankan siasatan bagi sesuatu kes kematian dalam tahanan.

Selain itu, NGO itu juga menyarankan kepada kerajaan agar segera mewujudkan Akta Koroner yang spesifik bagi menggantikan sistem Mahkamah Koroner sedia ada.

"Terdapat banyak pembaharuan kepada sistem Mahkamah Koroner yang perlu dilakukan dengan segera bagi memastikan pentadbiran sistem keadilan negara berjalan dengan baik dan meyakinkan," tambahnya.

Pada masa yang sama, katanya, RUU IPCC yang bakal dibentangkan di parlimen wajib ditarik balik dengan serta merta.

"Bagi memastikan pembaharuan serta reformasi kepada PDRM tercapai, Edict menuntut agar RUU IPCMC seperti yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Di Raja berkenaan PDRM yang ditubuhkan pada tahun 2005 dilaksanakan dengan serta merta," katanya.

Semalam Hamzah dilaporkan berkata unit itu akan dianggotai 12 anggota polis dan seorang kakitangan awam.

Katanya, unit tersebut akan mula beroperasi pada 1 Jan tahun hadapan dengan diketuai seorang pegawai polis berpangkat Supt.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS