Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hannah seru M'sia majmuk, sederhana - walau dibidas dalam DAP
Diterbitkan:  Dec 5, 2021 5:28 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

Ahli Parlimen Segambut DAP Hannah Yeoh menekankan kepentingan Malaysia yang sederhana selepas kemunculannya bertudung di masjid mencetuskan tindak balas bukan sahaja daripada orang ramai tetapi juga dalam partinya.

"Kita perlu mempertahankan dan berjuang untuk Malaysia yang sederhana. Sebuah negara Malaysia yang bukan untuk saya seorang sahaja tetapi untuk orang lain juga.

"Hormati mereka yang berada di sekeliling anda dan terapkan nilai kebaikan ini kepada jiran-jiran anda. Sikap mementingkan diri sendiri hanyalah resipi untuk bencana yang lebih besar.

"Sampaikan suara rakyat Malaysia yang sederhana supaya ianya bergema kuat di tempat kerja, kawasan kejiranan, ketika pertemuaan bersama keluarga, tempat ibadat dan melalui media sosial kita,” kata Yeoh pada catatan di Facebook hari ini.

Bekas pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau (gambar, bawah) sebelum ini membidas pakaian Yeoh dalam kumpulan Whatsapp yang terdiri daripada pemimpin DAP.

Menurutnya, cara berpakaian itu sekadar helah untuk menarik sokongan dan orang Melayu tahu apa yang DAP lakukan.

“Mungkin semua wakil wanita kita harus memakai tudung bukan sahaja di masjid tetapi di seluruh tempat seperti di pasar awam, gereja, sekolah dan sebagainya.

"Lebih bagus, semua orang perlu memeluk Islam. Kemudian kita akan pasti memenangi Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang. Apa kata anda semua?" katanya.

DAP dalam dekad yang lalu telah menyaksikan pergeseran antara kumpulan progresif dan konservatifnya.

Kem progresif, yang 'direstui' oleh pucuk pimpinan, mahu melihat DAP yang lebih majmuk manakala puak konservatif, kebanyakannya terdiri daripada pemimpin akar umbi, mahu mengekalkan status quo.

Kasihi jiranmu seperti kasihi diri sendiri

Pada catatan hari ini, Yeoh mengulangi bahawa terdapat tempat ibadat yang memerlukan orang ramai untuk menutup kepala mereka, seperti gurdwara atau beberapa gereja.

"Perbuatan menutupi kepala di hadapan mereka yang dihormati adalah sebagai tanda hormat kepada mereka. Ia juga adab kesopanan. Perbuatan ini juga diamalkan apabila kita menziarahi kematian.

"Sepanjang saya menjadi wakil rakyat selama 13 tahun di kawasan berbilang kaum dan agama seperti di Segambut dan Subang Jaya, saya sentiasa memberikan penghormatan seperti ini semasa saya turun ke kawasan saya. Saya akan terus melakukannya walaupun berhadapan dengan segelintir suara yang melampau di tanah air sendiri," kata Yeoh.

Dia yang beragama Kristian juga berkata bertudung tidak mengubah anutan kepercayaannya.

Sebaliknya, Yeoh berkata ia telah menguatkan lagi keyakinannya dalam menjunjung salah satu anjaran kitab Injil, iaitu ‘saling mengasihi jiranmu seperti mengasihi dirimu sendiri’.

Justeru, katanya, dia akan terus bertudung dengan sewajarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga telah tampil membela Yeoh, menggelarnya sebagai "rakyat Malaysia yang hebat, patriotik dan rakan yang lebih hebat".

Ahli parlimen Segambut yang ‘sungguh rajin’ itu telah melawat seluruh pelusuk kawasannya dan oleh demikian, dia bertudung untuk melawat masjid bukanlah perkara baru, katanya.

“Dalam banyak-banyak perbualan saya dengan Hannah, saya tidak pernah merasakan dia mahu menukar agama saya kepada Kristian dan saya juga tidak merasakan bahawa dia seorang konformis.

“Dia benar kepada dirinya sendiri. Adakah dia seorang Kristian yang taat? ya. Tetapi adakah itu menjadikan dia kurang seorang rakyat Malaysia? Tidak,” katanya.

Saddiq berkata agama Islam dan Kristian menyeru agar kemajmukan dihormati dan dihargai, dan oleh itu, seseorang masih boleh menjadi ‘rakyat Malaysia yang membanggakan’ tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.

Semua kehidupan rakyat Malaysia saling berkaitan antara satu sama lain, baik atau buruk, katanya.

"Jangan biarkan sesiapa memutuskan ikatan suci kenegaraan yang meraikan kepelbagaian dan kesederhanaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS