Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengkritik peraturan penjualan bir di kedai kopi dan restoran di Perlis pada bulan depan serta syarat tambahan agar semua kedai kopi memohon lesen alkohol untuk menjual minuman itu.
Lim menyifatkannya sebagai langkah yang tidak adil dan menghakis hak orang bukan islam di Malaysia.
Dia berkata demikian ketika mengulas laporan China Press berkenaan had penjualan empat kotak minuman keras sehari kepada pengusaha restoran dan kopitiam oleh kerajaan negeri, yang berkuat kuasa bulan depan.
Jabatan Kastam pula akan mengenakan syarat semua kedai kopi dan restoran yang ingin menjual alkohol untuk mendapatkan lesen bermula tahun depan, menurut laporan itu seperti dipetik The Malaysian Insight.
“Ini bukan sekadar memberi beban kewangan tambahan lebih RM1,000 untuk kos tambahan perlesenan kepada kedai kopi dan restoran di saat keadaan ekonomi semasa yang sukar.
“Ini adalah sekatan yang tidak perlu dan campur tangan dalam gaya hidup dan amalan perniagaan orang bukan Islam yang tidak diganggu sejak Merdeka bagi memenuhi politik melampau PAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
"Jelas, kerajaan mengguna pakai dasar melampau PAS di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, dengan mensyaratkan kedai kopi biasa yang menjual bir untuk memohon lesen alkohol," katanya lagi.
Mengulas lanjut, Lim berkata peraturan itu akan menjejaskan lebih 10,000 kedai kopi dan restoran yang meraih keuntungan kecil daripada penjualan minuman keras itu.
“Dengan marjin keuntungan kecil menjual bir, sebilangan kedai kopi kecil mungkin akan terpaksa berhenti menjual bir kerana mereka tidak mampu (membayar) lebih RM1,000 caj perlesenan," katanya.
Dia turut mempersoalkan anggota Kabinet bukan Islam yang tidak membantah peraturan tersebut.
"Anggota Kabinet bukan Islam, khususnya dari Sabah dan Sarawak, mesti bertanggungjawab sepenuhnya dan menjelaskan mengapa mereka tidak menghalang sebaliknya membenarkan atau menyokong dasar ekstremis kerajaan persekutuan dan PAS.
“Sokongan menteri bukan Islam termasuk daripada GPS hanya akan membawa kepada penghakisan dan malah penafian hak orang bukan Islam bagi memenuhi dasar PAS.
“Mengapa masuk campur dalam penjualan arak kepada orang bukan Islam apabila ia tidak dijual kepada orang Islam?” soal Lim.
Dia berkata pasukan undang-undang DAP akan mengkaji isu itu dan mencabarnya di mahkamah.
“DAP menggesa kerajaan tempatan, khasnya di negeri dikuasai Pakatan Harapan supaya tidak melaksanakan peraturan itu yang melarang dan mengehadkan hak orang bukan Islam," tambahnya.