Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Di tengah kebimbangan Omicron, k'jaan ajak meriahkan hari keluarga M'sia
Diterbitkan:  Dec 4, 2021 8:43 PM
Dikemaskini: 12:43 PM

Kerajaan menyeru orang ramai memeriahkan acara empat hari minggu depan bersempena sambutan 100 hari "Keluarga Malaysia" di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ini di tengah-tengah kebimbangan varian Omicron akan menyebabkan peningkatan kes Covid-19 dan Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan tempat sesak bagi mengekang penularan virus itu.

"Jom ramai-ramai memeriahkan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC, 9 ke 12 Dis 2021 dengan pelbagai aktiviti menarik," kata Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada siaran awam melalui SMS hari ini.

Program dari 9 hingga 12 Dis itu mempunyai pelbagai aktiviti menarik, kata kementerian itu.

Menurut akaun twitter Keluarga Malaysia, program itu antara lain menampilkan persembahan, bazar usahawan, galeri pencapaian kerajaan, pertandingan esport, malah cabutan bertuah dengan Proton X50 sebagai hadiah utama.

Kementerian Kesihatan turut menciap ulang promo untuk acara itu.

Pada hantaran berasingan, Kementerian Kesihatan menggesa orang ramai untuk mengelakkan tempat sesak dan ruang terkurung bagi mengelak penularan Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin meminta orang ramai supaya bertenang dan tidak panik terhadap varian Omicron.

Bagaimanapun, dia berkali-kali menegaskan prosedur Covid-19 dan langkah penjarakan sosial mesti dipatuhi, termasuk mengelak kawasan sesak.

Terdapat satu kes Omicron dikesan di Malaysia setakat ini, tetapi kes itu telah dikawal dengan pesakit dijangkiti dan semua kenalan rapat dikuarantin. Tiada kenalan rapat telah diuji positif untuk Covid-19 dan semuanya telah diuji negatif selepas tempoh kuarantin.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini meletakkan kabinetnya pada garis masa 100 hari untuk membuktikan prestasi mereka.

Kabinet mula mengira tempoh 100 hari mulai 1 Sept.

Ismail akan menyerahkan kad laporan pada 9 Dis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS