Kenaikan harga barang dan makanan, terutamanya ayam, sayur-sayuran serta telur yang mengalami peningkatan mendadak kebelakangan ini terus menghimpit kehidupan rakyat.
Selain fenomena global, beberapa faktor dikenal pasti, antaranya masalah rantaian bekalan, daripada pembekal (penternak dan petani), pemborong dan peruncit termasuk isu logistik.
Pun begitu, bagi pemilik salah satu rangkaian peruncitan ternama di negara terdapat faktor lain yang turut menyumbang terhadap kenaikan harga barangan di negara ini.
Pemilik rangkaian pasar raya besar Mydin, Ameer Ali Mydin, ketika dihubungi berkata ia berkaitan isu kekurangan buruh asing dalam pengeluaran barangan dan makanan.
Ini, jelasnya kerana kerajaan enggan membenarkan lebih ramai pekerja asing masuk bekerja di negara ini bagi menampung keperluan dan permintaan di sektor mendesak khususnya industri, pembuatan dan perladangan yang menjadi antara punca kenaikan harga barangan ketika ini.
"Kenaikan harga barang sekarang ini memang berbeza. Dia ada dua cerita yang sebetulnya, yang satunya kenaikan harga barang ini disebabkan oleh harga komoditi di dunia yang mana semua naik.
"Satu lagi isu, kekurangan tenaga buruh asing yang menjadi masalah besar di Malaysia," katanya kepada Malaysiakini.
Mengulas lanjut, Ameer (gambar, atas) berkata banyak sektor ekonomi khususnya industri pembuatan dan perladangan terkesan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini menyebabkan mereka terpaksa mengurangkan pekerjanya.
Bagaimanapun, ia kembali pulih sebaik sahaja kerajaan membenarkan sektor ekonomi negara dibuka semula selepas hampir dua tahun ditutup.
"Sekarang ini permintaan dah ada balik tetapi mereka tak sempat nak kejar pemintaan yang ada. Jadi, dia ambil masa untuk penuhi permintaan tersebut.
"Namun, saya sendiri pun tak faham kenapa menteri (enggan benarkan kemasukan pekerja asing).
"Bagi saya tak logiklah, sebab kita sendiri sedia maklum pekerja tempatan tak nak buat kerja-kerja yang ada sekarang ini. Saya juga pasti mana ada ibu bapa yang mahu anaknya bekerja di ladang, saya pun tak mahu anak saya bekerja di ladang. Saya nak anak saya jadi kerani di bank.
"Jadi, kalau kita terus menunggu untuk membuka peluang pekerjaan kepada orang tempatan saya ini satu salah besar. Sebab pekerja ini tak nak bekerja (di sektor 3D), kalau kita nak tunggu mereka ini sampai mati kebulur pun mungkinlah mereka ini akan ambil peluang pekerjaan itu," katanya.
Ameer mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Saravanan sebelum ini bahawa kerajaan tidak boleh sesuka hati membawa masuk pekerja asing ke negara ini.
Kena fikir balik
Pada 30 November lalu, Saravanan dipetik sebagai berkata kerajaan tidak akan mengambil jalan mudah dengan membenarkan lebih ramai pekerja asing masuk bekerja di negara ini bagi menampung keperluan dan permintaan di sektor mendesak khususnya industri, pembuatan dan perladangan.
Pada masa sama, katanya kementeriannya sudah melaksanakan pelbagai langkah dan kaedah untuk menarik seramai mungkin pekerja tempatan mengisi kekosongan pekerjaan yang sebelum ini dimonopoli pekerja asing.
Bagaimanapun, mengulas perkara itu Ameer meminta jasa baik Saravanan dan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin untuk membincangkan lebih lanjut ketetapan tersebut.
"Saya rasa menteri KDN kita dan menteri sumber manusia kena fikir balik dan buka balik pengambilan pekerja asing ini untuk sektor-sektor yang sangat memerlukan.
"Dan sekarang ini kita ada satu program kerjasama semula (recallibaration) untuk pekerja/ pendatang asing, maknanya (pekerja asing) yang dah ada dekat sini itu kita cuma ambil bekerja dengan sebetulnya.
"Tetapi siapa yang nak ambil? Sebab yang pertamanya mereka ini memang pendatang haram, yang kedua mereka ini dah lama dekat sini dan memang dah tahu selok belok, kita juga sedia maklum penguatkuasaan kita memang lemah.
"Jadi, kalau saya nak ambil untuk Mydin pun tak berani sebetulnya, sebab mereka ini dah pandai sangat, kalau kita ambil, bayar untuk Levi, bayar kerajaan deposit RM500, belanja lain-lain lagi kita buat dan kos kita akan dapat lebih kurang RM2,000 ke RM3,000 untuk seorang pekerja tetapi akhirnya mereka cabut lari," kesalnya.
Oleh itu, Ameer berkata sebaiknya adalah dengan menghantar pulang pendatang asing ini dan memberi kebenaran kepada mereka yang benar-benar hendak bekerja.
"Bukan kepada kroni-kroni, pada mereka yang dapat kontrak kemudian diberi pekerja ini kepada pihak lain tetapi bagilah pada siapa yang betul-betul memerlukan, pada kilang-kilang, pada Mydin sendiri, Tesco ke bagilah dekat dia.
"Tak perlu bagi kepada A ke, B ke, C ke. Ini satu yang salah," katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi Prof Barjoyai Bardai yang dihubungi Malaysiakini berkata negara akan menghadapi masalah kos sara hidup yang lebih serius di masa depan ekoran kenaikan harga barang ketika ini.
"Sekarang pun kerajaan sudah menghadapi isu besar tentang kos sara hidup kerana kerajaan sendiri dah sahkan bahawa kita bukan saja ada B40 tetapi kini kita sudah ada B60.
"Maknanya ada 20 peratus orang yang dulu kelas menengah kini dah jadi kumpulan pendapatan rendah. Itu belum mengambil kira kemsikinan tegar, yang lebih kurang 20 peratus dan itu isu besar.
"Jadi, kalau kenaikan harga barang ini masuk pula, dia akan menyebabkan kemungkin angka ini akan lebih serius," katanya.
Malah, Barjoyai (gambar, bawah) berkata kerajaan tidak akan mampu untuk menghadapi isu ini kerana negara kini sedang dalam proses menuju negara maju tahun 2025.
"Dalam kita nak mencapai status negara maju pada tahun 2025, kita punya kelas menengah perlu menjadi majoriti dan kalau boleh kelas menengah atas bukan kelas menengah rendah dan kita perlu ada sekurangnya-kurangnya 50 peratus kelas menengah atas.
"Barulah kita layak untuk menjadi negara maju dan itu nampaknya itu sangat susah untuk dicapai kecuali kalau kita dapat melakukan sesuatu perubahan drastik untuk mengubah struktur ekonomi negara kerana khususnya lebih daripada 60 peratus isi rumah di Malaysia adalah kumpulan pekerja yang mana prodaktivitinya dilihat rendah," katanya.
Menurut Barjoyai, dia melihat kos sara hidup pada ketika ini sebenarnya sebagai satu isu jangka pendek dan sekiranya kerajaan dapat mengawalnya pakar ekonomi itu yakin ia bukan suatu yang semula jadi.
"Ia merupakan suatu yang dibuat kerana ada pihak tertentu yang ingin cepat memperoleh kembali kehilangan pendapatan ketika ekonomi ditutup tapi dalam jangka tidak lama lagi saya rasa kurang daripada enam bulan harga akan kembali seperti sediakala.
"Tetapi, adakah mungkin pengguna-pengguna dan isi rumah kita yang sudah lebih 18 bulan terkurung dan sengsara ini dapat menunggu enam bulan lagi," soalnya.
"Kita sebenarnya sangat gelisah mengunggu, misalnya di hujung tahun ini apabila tempoh moratorium sudah tamat, kita akan melihat banyak kesan ke atas peniaga kecil, kumpulan persendirian yang meminjam dan menggunakan kemudahan moratorium.
"Kemudian kita juga gelisah melihat kos sara hidup yang meningkat sedangkan pendapatan tidak meningkat jadi kita akan melihat defisit dalam kewangan kumpulan isi rumah akan menjadi semakin tinggi," katanya.
PRU15: 'Semua orang dia tak percaya'
Tambah Barjoyai, sekiranya kerajaan berkeras mahu mengadakan pilihan raya umum (PRU) ke 15 dalam tempoh terdekat ia pasti akan mengalami kesukaran.
Katanya, ini kerana apa yang berlaku ketika ini berbeza dengan kemelut PRU14 lalu.
"Sebenarnya menjelang PRU yang lepas kita menghadapi keadaan yang sangat sihat, ekonomi kita meningkat dan kita tidak menghadapi masalah yang serius tentang isi rumah tetapi masalah kita tentang kerajaan, tentang pentadbiran kerajaan jadi pengundi pada masa itu melihat kerajaan sedia ada tidak memihak kepada rakyat.
"Jadi, mereka pun mengundi untuk menukar kerajaan tetapi kali ini walaupun kita sudah ada tiga kerajaan baru selepas PRU lalu, ketiga-tinganya dilihat tidak berwibawa.
"Maknanya, tak kiralah siapa kerajaan yang memerintah mungkin kesannya akan sama. Jadi, sekarang ini kalaulah pilihan raya diadakan pada awal tahun depan misalnya, isi rumah akan mempunyai masalah siapa yang mereka akan pilih kerana semua orang dia tak percaya," katanya.
Barjoyai berkata kesannya, akan wujud satu lagi masalah sama ada parlimen tergantung atau parti-parti yang memenangi kerusi pilihan raya dengan majoriti tipis terpaksa membentuk satu gabungan kerajaan yang baru.
Sementara itu, Barjoyai berkata dia yakin kenaikan harga barang merupakan 'mainan' pihak tertentu.
"Tetapi ia bukan sabotaj untuk jatuhkan kerajaan. Ia merupakan naluri biasa perniaga yang tamak kerana dia nak dapatkan balik kehilangan keuntungan sepanjang 18 bulan sektor ekonomi ditutup. Jadi, dia nak cepat dapat balik keuntungan dia supaya dia boleh terus hidup.
"Jadi, masing-masing mempunyai masalah inidividu. Tapi, kita tak bolehlah nak salahkan peniaga sebab dia dah rugi banyak tapi pada masa yang sama kita perlu menonjolkan kepada peniaga bahawa mereka bukan hidup seorang dalam Malaysia ini, mereka juga sebahagian daripada Keluarga Malaysia, mereka perlu lebih bertanggungjawab dan memikirkan kehidupan bersama yang sejahtera," katanya.
Bagaimanapun, Barjoyai berkata kerajaan dan institusi-institusi yang berkait dengan kerajaan boleh memainkan peranan penting dalam isu tersebut.
"Contohnya kebanyakan kenaikan harga barang ini berkait dengan makanan dan keperluan asas, jadi kalau instistusi seperti FAMA, KDN boleh mewujudkan strategi lain misalnya semarakkan pasar tani, pasar malam dan perniagaan terus daripada pengeluar kepada pengguna ini boleh mengelakkan orang tengah dan kalau kita boleh elakkan orang tengah kita akan dapat elakkan manipulasi
"Cuma, masalahnya sekarang kebanyakkan pengeluar mahupun nelayan itu sendiri tidak ada saluran untuk terus sampai kepada pengguna dan kalau FAMA, LKIM mewujudkam satu kaedah jaringan seperti Shopee itu akan dapat atasi masalah dan kita tidak kan dapat harga ikan yang melambung seperti sebelum ini di mana berlaku lambakan ikan di Kedah tetapi di Kuala Lumpur harga ikan kembung naik mendadak.
"Jadi, kenapa ini boleh berlaku? Sebab jaringan itu tidak ada," tambahnya.