Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Orang Asli bimbang terkandas akibat jalan rosak teruk

Orang Asli yang tinggal di beberapa kampung di Pos Lenjang dan Pos Titom di Kuala Lipis, Pahang dikatakan terkandas sejak dua minggu lalu akibat kerosakan jalan yang teruk.

Menurut seorang penduduk kampung yang menghubungi Malaysiakini, mereka bimbang keadaan menjadi bertambah buruk dalam beberapa minggu akan datang terutamanya apabila hujan lebat.

Awang Inkai, 45, berkata, masyakarat Orang Asli di situ bergantung kepada 'jalan balak' sebagai satu-satunya cara untuk pergi ke pekan terdekat bagi berniaga.

Kawasan itu mempunyai jalan lain yang pernah menjadi laluan masuk utama penduduk kampung, tetapi kini ditutup untuk kerja-kerja pembaikan.

“Disebabkan musim hujan, jalan balak ini menjadi lebih teruk dan sekarang hanya boleh dimasuki oleh kenderaan besar seperti kenderaan pacuan empat roda.

“Tapi, keadaan jalan yang teruk sehinggakan ada antara kita yang mempunyai kenderaan 4x4 sendiri tak berani menggunakan jalan itu untuk ke pekan. Risiko kerosakan tidak berbaloi jika dibandingkan dengan jumlah pendapatan yang kecil yang boleh kami perolehi," kata Awang yang menjual barangan runcit dan hasil hutan.

Menurutnya, keadaan jalan yang teruk itu turut menyebabkan kakak iparnya dan bayinya yang baru lahir terkandas kira-kira empat jam.

Awang mengambil kakak iparnya yang baru melahirkan anak pertamanya untuk membawanya ke klinik, namun tidak dapat melalui jalan berkenaan.

"Kami terpaksa tunggu selama empat jam sebelum penduduk kampung lain datang membantu kami," katanya.

Dia berkata mereka juga khuatir kampung itu mungkin terputus hubungan jika lokasi itu dilanda musim tengkujuh.

"(Kerajaan) ada (bina) dua jambatan tapi jambatan je cantik

"(Ada) Jambatan emas pun tak guna sebab jalan nak ke jambatan tak boleh lalu.

“Kami harap kerajaan atau agensi berkaitan dapat bantu selesaikan isu ini, memandangkan kerja-kerja pembaikan jalan utama hanya dijangka siap Julai tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor ketika dihubungi Malaysiakini berkata pihaknya akan menghulurkan bantuan kepada penduduk kampung.

Dia berkata kerajaan menyedari nasib yang dihadapi Orang Asli di kawasan itu, justeru projek penurapan jalan akan dijalankan.

"Perkara ini mula diberi perhatian semenjak saya jadi wakil rakyat dan selalu membangkitkannya dengan kerajaan. Hanya minta mereka bersabar, satu persatu saya akan usahakan.

"Kita akan bantu. Selama ini tak putus pun bantuan dari saya ahli parlimen dan Menteri Besar yang juga Adun Jelai," kata Ramli.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS