Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan benarkan pengimportan ayam bagi tangani lonjakan harga
Diterbitkan:  Dec 4, 2021 3:11 PM
Dikemaskini: 7:11 AM

Putrajaya akan membenarkan pengimportan sementara ayam bulat sejuk beku bagi menangani lonjakan harga akibat kekurangan bekalan domestik.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengakui kekurangan itu menyebabkan harga ayam melonjak sehingga RM10 sekilogram.

Untuk menanganinya, ia berkata negara akan membenarkan pengimportan sebanyak 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor ayam sejuk beku sebulan dari Disember hingga Feb 2022.

"Syarikat yang berhasrat untuk mengimport perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mempunyai kemudahan penyimpanan sejuk beku.

"Kebenaran pengimportan ini hanya akan dibenarkan dari negara dan loji penyembelihan yang telah diluluskan oleh kerajaan.

"Kebenaran mengimport ayam bulat ini adalah bersifat sementara (temporary measure) sehingga bekalan ayam dapat distabilkan oleh industri ayam tempatan," kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian itu berkata negara memerlukan 3,762 tan metrik atau 2.09 juta ekor ayam sehari dan 113,220 tan metrik atau 62.9 juta ekor ayam sebulan.

Bagaimanapun, katanya sejak Oktober, terdapat kekurangan purata kira-kira 18 peratus dan ini dijangka berterusan.

"Kekurangan bekalan ayam ini antara lain disebabkan berlakunya peningkatan permintaan yang mendadak berikutan pembukaan semula sektor ekonomi, terutamanya hotel, restoran dan katering bermula bulan Oktober 2021," katanya.

Ia berkata pengimportan sementara itu sepatutnya membantu memastikan bekalan mencukupi dan harga berpatutan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS