Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekolah Seri Puteri Cyberjaya diarah tutup sementara

COVID-19 | Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya diarahkan tutup sementara berikutan 135 kes baru positif Covid-19 yang membabitkan warga sekolah berkenaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya arahan tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi.

“Kluster Covid-19 yang melibatkan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya ini dinamakan Kluster Persiaran Tasik,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan situasi pandemik itu di Kuala Lumpur hari ini.

Noor Hisham berkata sehingga hari ini, seramai 973 warga sekolah disaring dan didapati 135 kes baru positif kes Covid-19 dikesan dalam kluster berkenaan.

Ia menjadikan keseluruhan kes Covid-19 dalam kluster tersebut menjadi seramai 143 orang terdiri daripada 114 murid, 19 guru dan 10 kakitangan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, semalam memaklumkan terdapat 73 kes positif Covid-19 di sekolah berkenaan melibatkan dua guru dan 71 pelajar.

“Satu sesi taklimat dan penerangan kepada persatuan ibu bapa dan guru sekolah tersebut telah diadakan. Pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kluster ini terkawal,” katanya.

Beliau berkata daripada 143 kes yang positif Covid-19, 106 kes dalam kategori satu manakala 35 kes yang lain adalah dalam kategori 2A dan dua kes lagi dalam kategori 2B.

Ia membabitkan masing-masing seorang guru dan seorang murid. Bagaimanapun kesemua mereka berada dalam keadaan stabil.

“Kesemua murid yang positif Covid-19 dan seorang guru telah dimasukkan ke Maeps untuk rawatan dan pemantauan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata seramai 700 orang kontak rapat iaitu 603 murid, 59 guru, dan 38 kakitangan telah dikenal pasti dengan kontak rapat dalam kalangan murid dimasukkan ke stesen kuarantin di Institut Aminuddin Baki dan Institut Latihan Islam Malaysia.

“Kontak rapat dalam kalangan guru dan kakitangan pula dikuarantin di rumah masing-masing,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS