Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembekuan sementara buruh Indonesia dilanjutkan

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata negara itu melanjutkan pembekuan sementara pekerjanya daripada memasuki Malaysia berikutan kadar kematian yang tinggi pada Julai dan Ogos akibat Covid-19.

Katanya pembekuan itu akan ditarik balik apabila kes Covid-19 berkurangan dan hak-hak pekerja Indonesia dipelihara. 

Pembekuan sementara tenaga buruh Indonesia ke Malaysia pada awalnya diumumkan oleh Kementerian Tenaga Kerja Indonesia apabila negara itu menutup sempadannya tahun lepas akibat pandemik berkenaan.

Hermono, memberitahu Malaysiakini bahawa walaupun kes dan kematian akibat Covid-19 di Malaysia meningkat secara mendadak pada suku ketiga tahun ini, angka kematian dalam kalangan rakyat Indonesia meningkat pada jumlah yang sangat membimbangkan.

"Terdapat 408 kematian pada Julai dan 700 kematian pada Ogos dan kebanyakan mereka meninggal dunia di rumah mereka kerana terlalu takut untuk pergi ke hospital kerajaan," katanya dalam satu temu bual eksklusif.

Katanya, pekerja berkenaan juga bimbang akan ditangkap, dihantar pulang dan mendedahkan lokasi tempat tinggal mereka di negara ini.

Hermono berkata virus itu telah meragut nyawa sebanyak 1,372 pekerja Indonesia pada 2021 dan empat orang pada 2020.

Dia berkata kebanyakan pekerja Indonesia di negara ini tidak memiliki dokumen sekali gus menyebabkan majikan mereka mengelak daripada memikul tanggungjawab terhadap hak dan kebajikan mereka.

“Sektor-sektor yang menggaji pekerja tanpa izin terbanyak ialah pembinaan, perkhidmatan, perladangan dan pembantu rumah,” katanya.

Duta Indonesia, Hermono bertemu dengan pekerja negara itu di Malaysia

Tambahnya, kebanyakan rakyat Indonesia yang meninggal dunia akibat Covid-19 adalah daripada sektor pembinaan dan perkhidmatan termasuk pekerjaan seperti perkhidmatan pembersihan.

Hermono berkata angka yang diperoleh kedutaan itu berdasarkan mereka yang telah meminta "surat pelepasan" kepada hospital untuk mengeluarkan mayat bagi tujuan pengebumian.

“Walaupun mereka meninggal dunia di rumah, mereka terpaksa memaklumkan kepada polis yang akan menentukan tiada unsur jenayah terhadap kematian orang itu.

“Jadi, surat itu menjelaskan bahawa si mati adalah warga Indonesia dan meminta pihak hospital mengeluarkan mayat itu,” katanya sambil menambah jumlah yang tinggi ini tidak termasuk pekerja berdokumen dan mereka yang bersembunyi.

Minggu lepas wakil Migrant Care Malaysia, Alex Ong memberitahu Malaysiakini bahawa sektor perladangan kelapa sawit merekodkan sekurang-kurangnya 40 kluster Covid-19 di enam negeri.

Manakala terdapat lebih 300,000 pekerja asing tanpa izin yang status vaksin mereka tidak diketahui dan dikhuatiri mencari tempat perlindungan di ladang-ladang ini.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago juga mengatakan sekurang-kurangnya 3,500 pekerja asing tidak ditolak daripada menerima vaksin pada penghujung program vaksinasi Covid-19 (SelVax) Selangor.

Ini menunjukan jumlah pendatang tanpa izin yang tidak divaksin yang masih ramai terutamanya di kawasan bandar perindustrian besar di Selangor.

Charles berkata Malaysia akan menerima akibat kerana tidak memberi tumpuan kepada vaksinasi pekerja asing tanpa izin berkenaan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS