Rosmah Mansor belum pulang dari Singapura untuk menghadiri pendengaran di Mahkamah Rayuan walaupun Mahkamah tinggi telah mengeluarkan arahan agar dia kembali selewat-lewatnya pada 21 Disember.
Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram meminta panel hakim agar mengeluarkan waran tangkap namun mereka sebulat suara memutuskan untuk tidak berbuat demikian.
Ia selepas mereka mendengar penjelasan peguam Rosmah, Jagjit Singh bahawa perkara itu disebabkan "kelalaian" dan dia bertanggungjawab penuh atas ketidakhadiran isteri bekas perdana menteri itu.
Seorang lagi peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader memberitahu Malaysiakini yang pihak mahkamah sebenarnya memaklumkan dia tidak perlu hadir menerusi sepucuk surat.
"Apa-apa pun, dia akan hadir ke mahkamah pada sembilan pagi Isnin ini, 6 Disember," katanya.
Menurut Akberdin, walaupun Rosmah pada mulanya dijadual pulang selewat-lewatnya 21 November lalu, dia memutuskan untuk pulang selepas tarikh itu susulan penguatkuasaan program laluan perjalanan vaksin (VTL) antara Malaysia dengan Singapura.
"Ini kerana kuarauntin tidak diperlukan, seperti yang diumumkan kerajaan," katanya lagi.
Semalam, anak pasangan itu, Nooryana Najwa memuat naik gambar memaparkan gambar Najib mendukung cucunya yang baru dilahirkan, Aidan Najib Daniyar, bersama-sama Rosmah.
Aidan lahir pada 1 November lalu. Najib yang dijadual ke Singapura pada masa itu menangguhkan rancagan itu untuk menyertai kempen Umno dan BN dalam PRN Melaka.
Najib sudah disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun. Mahkamah Rayuan dijadual menyampaikan keputusan rayuannya pada 8 Disember ini.
Rosmah pula sedang dibicarakan atas satu pertuduhan meminta suapan dan dua pertuduhan rasuah berkaitan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak.