Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Varian Omicron: Agong nasihat rakyat ambil vaksin, patuhi SOP

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan kegusaran terhadap penularan varian baru Covid-19, Omicron, yang dikategorikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian yang membimbangkan (VOC).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata sehubungan itu, baginda menasihati seluruh rakyat untuk terus beristiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Orang ramai juga, katanya, diseru sentiasa berwaspada dan tidak alpa semasa menjalani aktiviti harian.

“Seri Paduka Baginda turut menasihati rakyat supaya melengkapkan suntikan dos vaksin Covid-19 dan mendapatkan dos penggalak bagi melindungi dan memelihara kesihatan serta keselamatan diri, ahli-ahli keluarga tersayang dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baginda turut menzahirkan sokongan penuh terhadap tindakan tegas kerajaan untuk membendung penularan varian tersebut yang diklasifikasikan sebagai lebih berbahaya dan cepat merebak.

“...khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara, mempertingkat langkah-langkah pencegahan, kawalan sempadan dan survelan Covid-19 bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara, terutama dari negara yang melaporkan kes Covid-19 varian Omicron,” katanya.

Ahmad Fadil berkata menurut WHO, varian Omicron juga berkemungkinan mempunyai risiko lebih tinggi untuk menjangkiti berbanding varian lain serta mutasi dalam varian tersebut berpotensi mengurangkan keberkesanan vaksin.

Menurutnya Seri Paduka berharap rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab sosial dengan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika bergejala dan mengasingkan diri jika disahkan positif atau ditakrifkan sebagai kontak rapat sekali pun tidak bergejala.

Ahmad Fadil berkata Agong berpandangan segala pengorbanan dan usaha semua pihak termasuk petugas barisan hadapan selama ini dalam memerangi Covid-19 akan menjadi sia-sia sekiranya negara menghadapi ancaman gelombang baru penularan wabak itu.

Beliau berkata Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan terhadap langkah proaktif yang diambil KKM dalam meningkatkan kesiapsiagaan hospital-hospital dan klinik-klinik bagi menghadapi kemungkinan peningkatan bilangan kes harian sekiranya varian Omicron menembusi kawalan sempadan dan menular dalam negara.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan keyakinan bahawa dengan kerjasama dan komitmen tinggi antara rakyat dan kerajaan, penularan jangkitan Covid-19, khususnya varian Omicron, dapat dikekang demi keselamatan diri serta kesejahteraan negara yang dicintai,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fadil berkata Seri Paduka mengajak rakyat untuk bersama-sama berdoa supaya rakyat dan negara ini sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS