Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar: PKR, Amanah akan bincang cadangan bergabung
Diterbitkan:  Dec 1, 2021 6:00 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Pemimpin Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim berkata cadangan untuk menggabungkan dua parti komponen PH iaitu PKR dan Amanah sudah dikemukakan, namun masih belum dibincangkan.

Anwar yang juga presiden PKR bagaimanapun tidak mendedahkan bila cadangan itu dikemukakan.

“Ya, ya ia dikemukakan dan ia dalam pengetahuan pimpinan Keadilan (PKR) dan Amanah. Tetapi kami belum bincang perkara ini lebih lanjut.

“Apa pun pandangan kita dengar, kita bincang tiada masalah, tapi belum lagi sampai ke tahap itu,” katanya dipetik FMT selepas melawat pasar pagi di Taman Bukit Angkasa, Kg Kerinchi di Lembah Pantai.

Penganalisis politik Wong Chin Huat sebelum ini mencadangkan penggabungan antara kedua-dua parti itu selepas pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, yang menyaksikan PKR gagal memenangi sebarang kerusi daripada 11 kerusi yang ditandinginya.

BN memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya berkenaan apabila berjaya memenangi 21 daripada 28 kerusi.

Pakatan Harapan (PH) pula hanya memenangi lima kerusi berbanding 13 kerusi yang diperolehnya pada pilihan raya umum 2018.

Manakala Perikatan Nasional (PN) yang diketuai bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin hanya memenangi dua kerusi.

Wong percaya menerusi penggabungan itu akan dapat membantu PH memenangi hati pengundi Melayu.

Saingan PH iaitu Umno dan PAS, sering mendakwa bahawa mengundi PH akan menjejaskan orang Melayu dan Islam kerana ia akan menyebabkan DAP yang didominasi kaum Cina berkuasa.

Pemimpin DAP bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia bertujuan menimbulkan ketakutan yang tidak berasas di kalangan orang Melayu.

Sama seperti Wong, bekas Ketua Pemuda PKR (AMK) Selangor, Najwan Halimi berkata, PKR dan Amanah perlu mempertimbangkan cadangan penggabungan berkenaan bagi membantu PH memenangi lebih banyak undi Melayu.

Tambahnya, penggabungan itu juga akan menyelesaikan isu pengagihan kerusi antara kedua-dua parti, selain mengukuhkan PKR susulan Langkah Sheraton tahun lepas.

Dia mendakwa langkah politik itu menyebabkan PKR ketandusan kepimpinan di peringkat nasional, negeri dan akar umbi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS