Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan bayar harga premium untuk vaksin Sinovac - PAC
Diterbitkan:  Dec 1, 2021 4:33 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Kerajaan terpaksa membayar harga premium dalam pembelian sebahagian vaksin Sinovac, antaranya akibat kelewatan Pharmaniaga dalam penghantaran pada bulan April, Mei dan Jun tahun ini, kata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Ini adalah antara penemuan dalam laporan PAC yang diterbitkan hari ini, mengenai perolehan vaksin Covid-19 dan penggunaannya untuk warganegara Malaysia, di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Kewangan (MOF).

“PAC berpuas hati dengan harga perolehan vaksin daripada pelbagai portfolio oleh kerajaan yang didapati adalah munasabah.

“Walau bagaimanapun, PAC mendapati harga premium (peningkatan antara 16.78 peratus hingga 18.12 peratus) perlu dibayar dalam pembelian sebahagian Vaksin Sinovac.

“Antaranya akibat kelewatan Pharmaniaga dalam penghantaran pada bulan April, Mei dan Jun 2021 dan juga atas keperluan mendesak dalam tempoh tersebut,” kata PAC.

Namun, menurut rumusan PAC, jawatankuasa itu berpendapat kerajaan seharusnya berpegang kepada harga yang sama seperti yang termaktub dalam perjanjian awal.

Negara dalam situasi yang gawat pada separuh pertama tahun ini susulan kes Covid-19 yang menular dengan pantas sedangkan pemberian vaksin bergerak begitu perlahan akibat kelewatan penghantaran bekalan.

Kadar vaksinasi negara hanya meningkat dengan ketara selepas Julai, berikutan lebih banyak penghantaran bekalan vaksin daripada pengeluar.

Pharmaniaga sebelum ini telah menandatangani perjanjian untuk membeli vaksin Sinovac secara pukal, dengan pengeluar tempatan yang kemudiannya akan membotolkannya untuk penggunaan individu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS