Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Susulan varian Omicron, k'jaan akan percepat pemberian dos penggalak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempercepat pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 ekoran penemuan varian Omicron di luar negara.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata dia telah mengarahkan agar kapasiti pemberian dos penggalak ditingkatkan daripada 120,000 dos sehari pada masa ini kepada 150,000 dos sehari.

Seterusnya, ia akan ditingkatkan secara berperingkat sehingga mencecah 200,000 dos sehari.

“Kami berharap mereka yang mendapat temu janji dos penggalak akan hadir temu janji mereka untuk menerima (vaksin),” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini berkenaan langkah tambahan bagi menghalang penularan varian baru tersebut.

Bagaimanapun, dia tidak memperincikan garis masa untuk mencapai sasaran pemberian dos penggalak berkenaan.

Khairy menambah bahawa satu pengumuman akan dibuat minggu hadapan berhubung berapa lama individu terimunokompromi (immunocompromised) harus menunggu sebelum dibenarkan mengambil dos penggalak.

Untuk orang awam pula, senggang masa semasa untuk suntikan dos penggalak akan dikekalkan buat masa ini, meskipun sesetengah negara sudah pun mengambil langkah untuk memendekkannya.

“Kebanyakan negara masih mengekalkan enam bulan (senggang masa) tetapi kami sedar terdapat negara yang telah memendekkannya.

“Sesetengah negara telah memendekkannya ekoran musim sejuk yang melanda, yang kita di Malaysia sudah tentu tidak alami, tetapi kami akan terus memantau situasi itu.

“Sekiranya keadaan memerlukan senggang masa yang lebih pendek, kami akan membuat pengumuman bila sampai masanya,” katanya.

Guna vaksin sedia ada

Ketika ditanya sama ada Malaysia perlu membeli vaksin baru bagi menangani varian baru tersebut, Khairy berkata keputusan akan dibuat sekiranya vaksin sedia ada didapati terlalu tidak berkesan ke atasnya.

Bagaimanapun, katanya, adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan berhubung perkara itu memandangkan pengeluar vaksin pun tidak pasti bagaimana kesan varian Omicron ke atas produk mereka.

“Buat masa sekarang, strategi kami adalah mengguna pakai vaksin sedia ada yang telah diluluskan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk diberikan sebagai dos penggalak.

“Adalah lebih baik kita guna apa yang ada, daripada menunggu data tambahan tentang keberkesanan vaksin sedia ada terhadap varian baru yang membimbangkan itu,” katanya.

Menjawab soalan lain, Khairy berkata kadar kehadiran temu janji dos penggalak kini semakin baik selepas kerajaan menjalankan sistem senarai menunggu bagi mereka yang mahu menerima dos penggalak.

Sebelum ini, menteri itu berkata sebanyak 40 peratus temu janji dos penggalak tidak dipenuhi, tetapi kini kadar tidak hadir adalah sangat rendah dan pusat pemberian vaksin beroperasi pada kapasiti penuh setiap hari.

Bagaimanapun, tambah Khairy, terdapat sesetengah individu yang masih enggan hadir temu janji dos penggalak mereka, terutamanya golongan warga emas yang sebelum ini menerima vaksin Sinovac.

Dia menggesa mereka agar tidak lagi menangguhkan temu janji dos penggalak, memandangkan penerima Sinovac yang belum menerima dos penggalak berdepan risiko tinggi, terutamanya dengan kemunculan varian Omicron.

“Walaupun ia belum ada di Malaysia, langkah mencegah mesti diambil supaya semua warga emas menerima dos penggalak mereka, terutamanya mereka yang menerima vaksin Sinovac kerana imunitinya berkurangan lebih cepat berbanding dengan yang menerima vaksin Pfizer,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS