Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Istilah Tanah Besar Malaysia tak pernah digunakan dalam Perlembagaan’
Diterbitkan:  Dec 1, 2021 1:44 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

PARLIMEN l Cadangan menjenamakan Sabah dan Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia tidak membawa sebarang keistimewaan kepada kedua-dua negeri itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Hanifah Hajar Taib berkata kerajaan berpandangan istilah sedia ada dalam undang-undang iaitu Malaysia Timur adalah memadai.

Beliau berkata berdasarkan semakan undang-undang yang dibuat Jabatan Peguam Negara, didapati istilah Tanah Besar Malaysia tidak pernah digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.

“Penjenamaan itu tidak membawa apa-apa, kerana ia hanya bagi easy reference, tidak menambah atau menolak apa-apa keistimewaan kepada mana-mana negeri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) mengenai sama ada kerajaan akan mengkaji untuk menjenamakan Sabah dan Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia memandangkan Federation of Malaya sudah sekian lama dinamakan sebagai Semenanjung Malaysia.

Menurutnya di bawah undang-undang sedia ada, terdapat beberapa istilah yang digunakan seperti East Malaysia dan Peninsular Malaysia.

Tambahan pula katanya cadangan pindaan Perkara 1(2) seperti yang diperuntukkan dalam Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 sekiranya diluluskan kelak, akan memperuntukkan kembali istilah Negeri-Negeri Borneo bagi merujuk kepada Sabah dan Sarawak.

Pada 3 Nov lepas, kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat antaranya untuk memasukkan negeri-negeri Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo.

Bacaan kali kedua rang undang-undang itu dijangka dibuat pada sesi Dewan Rakyat ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS