Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wartawan Mkini menang Anugerah Wartawan Muda Yayasan Thomson
Diterbitkan:  Nov 30, 2021 8:53 AM
Dikemaskini: 1:42 AM

Wartawan Malaysiakini Wong Kai Hui, 27 memenangi Anugerah Wartawan Muda Yayasan Thomson selepas mengatasi 200 peserta dari 55 negara yang bersaing untuk merebut anugerah berprestij itu.

Sementara itu Tatiana Pardo Ibarra dari Colombia dan Mahima Jain dari India pula dipilih sebagai naib juara. Ketiga-tiga mereka dan seorang pemenang hadiah alam sekitar, Monika Mondal dari India, dianugerahkan geran pembelajaran berjumlah £1,000 dan dana pembelian peralatan.

Calon lain termasuk Carmen Valeria Escobar Catillo (El Salvador), Parth Nikhil (India), Samad Uthman (Nigeria), Shrouk Ghonim (Mesir), Daniel Lutaaya (Uganda), Md Ibrahim Khalilullah (Bangladesh) dan Zuha Siddiqui (Pakistan).

Anugerah itu bagi menghargai peranan wartawan dalam menghasilkan laporan bersifat pendedahan, yang mendorong perbahasan awam dan membawa perubahan positif kepada masyarakat.

Antara laporan yang ditulis Wong adalah mengenai penglibatan kerabat diraja Pahang dalam pembinaan kemudahan pelupusan tetap (PDF) Lynas di Bukit Ketam, Kuantan.

Susulan laporan itu, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah melepaskan 50 peratus pegangannya dalam syarikat yang dilantik untuk membina PDF itu.

Jabatan Alam Sekitar juga telah meminta Lynas mencari tapak baru. 

Tapak asal terletak di kawasan tadahan air yang pada mulanya dinafikan oleh firma Australia berkenaan.

Laporan lain yang diketengahkan Wong ialah mengenai projek perlombongan di hutan simpan di Kuala Tembeling, Jerantut.

Kawasan itu telah dinyahwartakan untuk projek tersebut dan turut dikaitkan dengan kerabat diraja Pahang. Wong juga telah melaporkan tentang kumpulan terpinggir, termasuk perjuangan komuniti transgender.

Cita-cita pertama Wong adalah sebagai pembikin filem dokumentari, yang dipelajari bersama ilmu kewartawanan di Universiti Nasional Chung Cheng di Taiwan. 

Namun oleh kerana sukar mencari pekerjaan sebagai pembuat filem, dia merebut peluang untuk bekerja sebagai wartawan dengan Malaysiakini.

"Tidak kira sama ada ia adalah pembikinan filem dokumentari atau kewartawanan.

“Saya fikir apa yang saya sentiasa mahu kejar ialah mendokumentasikan apa yang berlaku dalam masyarakat kita dalam bentuk yang lebih kontekstual.

“Hidup di negara berbilang budaya, agama dan etnik, sudut pandangan mengenai identiti jantina, orientasi seksual, ekspresi jantina dan juga seksualiti adalah sangat pelbagai. Dan untuk mencapai kata sepakat adalah perjalanan yang sangat panjang," tambah Wong.

Pencapaian luar biasa

Sementara itu Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan berkata portal berita itu amat berbangga dengan pencapaian Wong.

“Kai Hui adalah salah seorang daripada ramai wartawan muda yang memiliki keistimewaan untuk bekerja dengan Malaysiakini.

"Dia seorang yang sabar, teliti dan tekun dalam meneruskan laporannya - semua kemahiran yang diperlukan untuk menjadi seorang wartawan penyiasat," kata Gan.

“Apa yang saya dapati lebih luar biasa - seperti beberapa wartawan di Malaysiakini - dia mengambil tanggungjawab untuk bukan sahaja menulis laporannya dalam bahasa Cina, yang merupakan bahasa terkuatnya, tetapi juga menterjemahkannya ke bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia."

Gan melahirkan harapan agar Wong, yang kini berada di Taiwan untuk melanjutkan pelajaran, akan kembali berkhidmat sebagai generasi baru wartawan di Malaysia sekali gus dapat memberikan sumbangan untuk menjadikan negara ini lebih baik berbanding sebelumnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS