Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guan Eng: Apakah menteri akan letak jawatan jika harga sayur terus melonjak?
Diterbitkan:  Nov 28, 2021 4:00 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng bertanya apakah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi sanggup meletakkan jawatan sekiranya dia tidak mampu menangani harga keperluan asas seperti sayur daripada terus meningkat.

“Apakah menteri akan meletakkan jawatan jika dia tidak dapat membalikkan lonjakan harga keperluan asas, seperti sayur daripada meningkat melebihi 100 peratus?

“Pagi ini saya mengagihkan hampir 400 bungkusan makanan kepada penduduk yang memerlukan di kawasan Bagan yang teruk terjejas oleh peningkatan harga barang keperluan asas.

“Tak pernah rakyat Malaysia melihat kenaikan harga sebegini untuk keperluan asas seperti telur, ayam, roti, sayur malah kiub ais.

“Kerajaan persekutuan harus diingatkan bahawa keperluan asas ini bukanlah barangan mewah, tetapi harganya sekarang sudah di tahap mewah,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Kata pemimpin DAP itu, kerajaan persekutuan nampaknya seolah-olah tidak kisah atau tidak efektif dan tidak berbuat apa-apa bagi memeriksa kenaikan harga itu, yang katanya telah menyebabkan membebankan rakyat dan mengurangkan kuasa membeli mereka.

Bukan sahaja golongan B40, Lim berkata, kini golongan M40 juga buntu dengan kenaikan harga itu.

“Ramai penerima (bantuan) di Bagan bertanya, bagaimana mereka mampu (menangani) kenaikan harga sedangkan gaji mereka tidak naik-naik?” tambah Lim.

Baru-baru ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk menangani kenaikan harga sayur selepas mendapati harga bagi sesetengah sayur meningkat sehingga 200 peratus sejak dua minggu lepas.

Antaranya, dedah CAP, harga sawi pendek (choy sum) meningkat dari RM3 sekilogram kepada RM9 (200 peratus), brokoli daripada RM8 kepada RM20 (150 peratus), dan kubis bunga daripada RM7 sekilogram menjadi RM16 sekilogram (lebih 100 peratus).

Hari ini, Setiausaha Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands Chay Ee Mong berkata pekebun dan peniaga sayuran menggesa kerajaan untuk menangani isu kekurangan tenaga kerja serta isu lain yang membawa kepada peningkatan harga sayuran pada masa ini.

Sementara itu Ketua Bahagian Bersatu Segambut Mahathir Mohd Rais menggesa kerajaan untuk meminda Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan bagi mengekang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Katanya, negara akan mengalami inflasi yang tinggi tanpa kawalan harga yang berkesan, seterusnya membebankan rakyat pada masa hadapan.

Tabah Lim, memandangkan Linggi menyalahkan kos operasi yang lebih tinggi dalam rantaian nilai dan memberi jaminan bahawa kenaikan harga barang keperluan asas akan diselesaikan menjelang 9 Disember, maka dia harus berundur jika gagal mengotakan hal demikian.

“Kerajaan pusat mesti menanggung kebertanggungjawaban penuh jika harga tidak dapat diturunkan pada 9 Disember, tetapi juga mereka harus bertindak sekarang bagi mengurangkan harga buat masa ini dan bukannya menunggu sehingga 9 Disember,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS