Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MoU bukan 'kitab suci' untuk halang buat PRU awal - Zahid
Diterbitkan:  Nov 28, 2021 12:26 PM
Dikemaskini: 4:26 AM

Perjanjian memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) bukanlah "kitab suci" yang akan menghalang pilihan raya umum (PRU) ke-diadakan lebih awal daripada Julai tahun depan, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut laporan akhbar Mingguan Malaysia, presiden Umno itu menegaskan bahawa ini tidak bermakna perjanjian itu perlu "dilanggar", tetapi sekadar rundingan boleh diadakan untuk mencapai keputusan bersama.

"Kita menghormati MoU itu, tetapi MoU itu bukan kitab suci, jauh daripada ayat-ayat tercatat dalam al-Quran. Selain daripada itu, Insyaallah boleh diubah.

“Saya tidak fikir kita harus melanggar tetapi yang terbaik adalah kita berunding dan semua pihak sudah pasti ada pandangan yang berbeza dan secara konsensus. Keputusan majoriti akan dibuat berdasarkan kepada hasil perbincangan yang diadakan,” katanya seperti dipetik laporan itu.

Zahid dilihat mengetuai gesaan untuk PRU15 diadakan lebih awal susulan kemenangan besar Umno dalam pilihan raya negeri (PRN)Melaka hujung minggu lalu.

Katanya, sebarang keputusan untuk mengadakan PRU lebih awal adalah berdasarkan nasihat yang mengambil kira pelbagai faktor termasuk MoU yang dimeterai.

Zahid berkata dia tidak mempunyai kuasa untuk menentukan tarikh PRU dan sebarang keputusan untuk mengadakan pilihan raya perlu mengambil kira semua faktor termasuk kepentingan rakyat yang harus diutamakan.

Putrajaya, di bawah MOU itu, berjanji tidak akan membubarkan Parlimen sehingga sekurang-kurangnya 21 Julai 2022, bagi mempunyai masa yang cukup untuk melaksanakan pelbagai pembaharuan yang diminta oleh PH sebagai pertukaran agar pembangkang tidak menghalang agenda utama kerajaan.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata tidak ada kepastian bahawa MOU itu akan berlangsung sehingga Julai depan kerana menurutnya PH tidak kelihatan serius dalam memenuhi perjanjian itu apabila ia menggalakkan bekas Adun Umno yang berpaling tadah menjatuhkan kerajaan Melaka pimpinan Umno-Bersatu sebelum ini.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan juga menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mempertimbangkan untuk mengadakan PRU15 lebih awal, dengan mengatakan bahawa sentimen rakyat kini teguh bersama BN.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementeriannya tegas menentang idea itu.

Khairy menegaskan bahawa adalah "sangat tidak bertanggungjawab" untuk mengadakan pilihan raya yang tidak perlu semasa pandemik Covid-19.

“Pilihan raya umum tidak perlu diadakan lagi dan pendirian kementerian adalah tidak sesuai untuk kita mengadakan pilihan raya umum sekarang.

“Saya ingin menekankan dua perkara. Pertama, situasi kes (Covid-19) masih membimbangkan dan kemasukan ke hospital meningkat.

“Dan terdapat kemunculan varian baharu.

“Saya fikir jika pilihan raya umum diadakan pada masa ini, ia akan menjadi sangat tidak bertanggungjawab. Pendirian kementerian adalah kami akan menasihati sekeras-kerasnya menentang pilihan raya umum dalam masa terdekat,” tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS