Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Loke: Mungkin tak perlu lagi guna lambang sama, ada calon PM
Diterbitkan:  Nov 27, 2021 5:38 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berkata dengan perubahan keadaan politik di negara ini, pembangkang boleh mempertimbang untuk tidak lagi berpegang dengan keyakinan bahawa perlu satu logo tunggal dan calon perdana menteri untuk menang dalam pilihan raya.

"Ketika PRU 9 Mei (2018), orang fokus kepada perlunya satu logo bersama dan calon perdana menteri untuk memberi keyakinan kepada pengundi untuk menyokong kita.

"Tetapi selepas PRU 9 Mei dan tiga pertukaran kerajaan, model itu telah berubah," katanya dalam wawancara bersama Astro AEC.

Loke berkata, apa yang berlaku membangkitkan persoalan sama ada logo tunggal untuk PH masih perlu atau tidak dalam pilihan raya akan datang.

"Saya berpendirian di peringkat ini, apa yang terbaik adalah jika semua menggunakan logo sendiri kerana semua pihak ada kekuatan sendiri.

"DAP ada kekuatan sendiri dan kita boleh kekalkan kekuatan kita. Jika PKR, dengan menggunakan lambang sendiri dapat mengekalkan kekuatan mereka, maka kita boleh gabungkan kekuatan kita.

"Ia masih kekuatan bersama PH tetapi pendekatannya berbeza. Ia seperti PRU 2008 dan 2013.

"Semua pihak masih boleh menang walau tiada logo bersama," katanya lagi.

Pandangan itu berbeza daripada pendirian DAP sebelum ini agar PH menggunakan logo gabungan dalam PRN Melaka yang berlangsung 20 November lalu.

Bagaimanapun PH kalah teruk dalam pilihan raya itu, susulan beberapa faktor seperti jumlah keluar mengundi yang rendah dan kemarahan terhadap keputusan PKR dan Amanah untuk mencalonkan bekas pemimpin Umno.

DAP hanya mengekalkan kemenangan di empat daripada lapan kerusi yang disandang, Amanah menang satu daripada dua kerusinya manakala PKR kalah di kesemua tiga kerusi yang dimenanginya pada PRU lalu.

BN pula mendapat majoriti dua pertiga apabila menang 21 daripada 28 kerusi DUN. Perikatan Nasional berjaya meraih dua kerusi.

Loke akui dengan keadaan PH pada masa ini, gabungan itu perlu melebarkan pengaruhnya melangkaui asas sokongan di bandar.

Pada masa ini, PH dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).

Loke berkata lagi, sebarang kerjasama dengan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan partinya iaitu Pejuang juga sukar kerana ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong teras mereka.

"Semua orang boleh bergantung kepada lambang dan parti masing-masing tetapi jika matlamat kita sama, kita boleh duduk berbincang.

"Maka gabungan besar tidak semestinya bermaksud memiliki logo sama," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS